Ledakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kini bukan sekadar fenomena kreatif, ia telah menjadi medan peluang sekali gus persaingan budaya global.
Di seluruh dunia, seni digital digunakan bukan hanya sebagai medium ekspresi estetika, tetapi juga instrumen ‘soft power’ - yang membentuk minat dan kecenderungan individu hingga masyarakat.
Negara dan wilayah yang mampu menonjolkan bakat tempatan melalui platform digital tidak hanya memperkukuh identiti budaya mereka, tetapi juga boleh menarik perhatian pelabur, media antarabangsa, dan komuniti kreatif global.
Dalam konteks ini, Selangor, sebagai negeri peneraju ekonomi dan budaya di Malaysia, berada di persimpangan yang strategik.
Dengan jumlah bakat kreatif yang tinggi, ekosistem teknologi yang mantap, dan akses kepada pasaran digital, negeri ini memiliki potensi untuk menjadi hab seni digital terpenting di negara ini.
Namun, potensi itu hanya akan direalisasikan jika terdapat mekanisme yang betul dan jelas untuk mengiktiraf karyawan digital tempatan secara rasmi.
Di sinilah peranan Anugerah Seni Digital Selangor menjadi penting — bukan sekadar simbolik, tetapi sebagai instrumen strategik untuk melengkapkan ekosistem kreatif yang mampan.
Anugerah ini bukan hanya mengenai trofi atau pengiktirafan semata-mata. Ia adalah platform untuk menilai, mengiktiraf, dan akhirnya untuk mempromosikan karya digital yang inovatif, berpengaruh dan lebih penting - memberi makna kehidupan kepada masyarakat.
Kriteria penilaian anugerah ini perlu berasaskan falsafah Seni Untuk Rakyat, yang menekankan bahawa seni yang berasakan medium digital mesti memberi impak kepada masyarakat — sama ada dari segi pendidikan, kesedaran budaya, atau pembangunan identiti kolektif.
Secara tidak langsung, pendekatan ini mampu membendung ‘sampah digital’ yang semakin berleluasa, yang mendedahkan masyarakat kepada penyalahgunaan platform digital.
Dalam era media sosial dan IoT, karya digital mampu membentuk minat, pengetahuan, dan kecenderungan masyarakat terhadap budaya tempatan. Sama ada pengisian (content) itu berunsur positif atau negatif.
Tanpa insentif dan pengiktirafan yang tepat, dalam mengajak komuniti digital menghasilkan ekspresi kreatif, kandungan digital mudah terperangkap dalam konten hiburan semata-mata, tanpa menyumbang kepada kelangsungan warisan budaya masyarakat.
Cerita pendek, iklan ‘penggoda’ (teaser) berbentuk pengajaran, kesedaran, dan apresiasi terhadap sesuatu idea, seharusnya menjadi ‘benchmark’ kepada kita untuk meneroka lebih jauh naratif seni digital yang sememangnya berpontesi menjadi sumber ekonomi.
Seni digital bukan sahaja medium kreatif; ia adalah sektor ekonomi berdaya saing tinggi. Pasaran global kini menghargai karya digital seperti NFT (Token Unik Digital), animasi, persembahan interaktif, dan pengalaman maya sebagai produk ekonomi kreatif bernilai tinggi.
Dengan memperkenal anugerah ini, Selangor bukan sahaja mengangkat bakat tempatan, tetapi juga menegaskan kedudukan negeri sebagai peneraju industri kreatif digital Malaysia.
Ia membuka peluang untuk kerjasama agensi, antarabangsa, pelaburan teknologi, dan pembangunan industri kreatif yang lestari.
Lebih daripada itu, anugerah ini membentuk penanda aras budaya. Karya yang diiktiraf bukan sekadar indah secara visual, tetapi juga mempunyai relevansi sosial, pendidikan, dan budaya.
Ini menegaskan bahawa seni digital bukan sekadar trend atau hiburan, tetapi medium yang mampu membina kesedaran dan melestarikan nilai budaya.
Ia mengajak seniman untuk berfikir kritikal tentang kesan karya mereka terhadap masyarakat, serta memupuk kesedaran bahawa kreativiti digital boleh menjadi warisan budaya yang berpanjangan.
Inovasi dan kreativiti
Anugerah ini akan turut memberi motivasi kepada seniman untuk mengekalkan keseimbangan antara inovasi dan nilai tempatan. Kreativiti tanpa konteks budaya mungkin menarik perhatian sementara, tetapi ia tidak akan membina identiti kolektif yang kukuh.
Dengan adanya platform pengiktirafan formal, seniman terdorong untuk menghasilkan karya yang bukan sahaja memukau secara visual, tetapi juga mengandungi mesej, nilai, dan naratif yang relevan kepada rakyat.
Seni digital, dalam konteks ini, menjadi medium pendidikan, pemangkin inovasi, dan jambatan budaya antara generasi.
Dalam dunia global yang semakin digital, pengiktirafan terhadap seni digital adalah sebahagian daripada strategi ‘soft power’ kerajaan.
Selangor bukan sahaja berpeluang menjadi pusat kreatif yang menonjol di Malaysia, tetapi juga boleh menembusi arena antarabangsa.
Melalui anugerah ini, karya tempatan dapat menembusi pasaran global, memperkenalkan identiti budaya negeri, dan menarik perhatian komuniti kreatif luar negara. Ini bukan sekadar soal prestij, tetapi juga strategi ekonomi dan budaya yang menguntungkan.
Tanpa pengiktirafan formal, kandungan digital mudah tersasar kepada hiburan semata-mata, tanpa menyumbang kepada pembangunan budaya yang bermakna. Anugerah Seni Digital Selangor adalah jawapan kepada cabaran ini.
Ia bukan sekadar acara tahunan, tetapi mekanisme strategik untuk memastikan seni digital mengekalkan relevansi sosial, nilai pendidikan, dan kesinambungan budaya.
Ia memberi mesej bahawa kreativiti digital bukan hanya trend sementara, tetapi warisan yang perlu dihargai dan dibangunkan.
Dengan itu, anugerah ini selaras dengan visi Selangor: menggabungkan kreativiti, budaya, dan strategi negeri untuk mewujudkan ekosistem seni digital yang lestari, relevan, dan berdaya saing di peringkat nasional dan global.
Ia membuka jalan bagi bakat tempatan untuk terus berinovasi, membina identiti budaya yang kuat, dan menegaskan bahawa Selangor bukan sekadar negeri ekonomi maju, tetapi juga pusat kreatif yang menghargai warisan sambil menembusi peta masa depan ekonomi digital.
*Darma Sari merupakan seorang pengamat seni dan budaya tanah air




