Masjid Al-Aqsa kembali dibuka untuk solat Jumaat selepas lima minggu ditutup

10 Apr 2026, 1:30 PM
Masjid Al-Aqsa kembali dibuka untuk solat Jumaat selepas lima minggu ditutup

JERUSALEM, 10 APRIL: Ribuan jemaah Palestin berkumpul di Masjid Al-Aqsa untuk solat Jumaat selepas lebih lima minggu masjid itu ditutup, lapor Anadolu Ajansi.

Israel mengumumkan pada Rabu akan membuka semula Masjid Al-Aqsa dan Gereja Makam Suci di Baitulmaqdis Timur yang diduduki mulai pagi Khamis, membenarkan akses buat kali pertama dalam 40 hari berikutan sekatan yang dikenakan semasa perang Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran.

Orang ramai mula tiba pada awal pagi, memenuhi halaman masjid dengan lelaki, wanita, kanak-kanak dan jemaah warga emas sebagai cerminan keghairahan rakyat Palestin untuk memasuki Al-Aqsa setelah sekian lama.

Semasa penutupan itu, rakyat Palestin dilarang menunaikan solat harian termasuk solat Jumaat lima kali berturut-turut pada 6, 13, 20, dan 27 Mac serta 3 April. Ibadah dibenarkan semula pada Jumaat keenam, 10 April.

Pihak berkuasa Israel menutup kedua-dua tapak sejak 28 Feb atas alasan langkah keselamatan semasa perang AS-Israel terhadap Iran.

Mereka juga menghalang solat Aidilfitri diadakan di Al-Aqsa tahun ini buat kali pertama sejak Israel menduduki Baitulmaqdis Timur pada 1967.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.