Bank Dunia cadang pelarasan RON95, kurangkan beban kerajaan

10 Apr 2026, 9:19 AM
Bank Dunia cadang pelarasan RON95, kurangkan beban kerajaan

SHAH ALAM, 10 APRIL: Bank Dunia mengesyorkan kerajaan mempertimbangkan pelarasan harga petrol RON95 bersubsidi daripada RM1.99 kepada RM2.05 seliter bagi mengurangkan beban subsidi negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata langkah itu penting susulan tekanan fiskal yang semakin meningkat akibat krisis tenaga global, dipacu konflik di Asia Barat.

Beliau turut menyambut baik pendekatan penetapan kuota bahan api melalui mekanisme seperti BUDI95 yang dilihat berkesan dalam melindungi permintaan domestik.

Namun katanya, pengekalan harga RON95 pada paras semasa dalam tempoh panjang berisiko memberi tekanan besar kepada kewangan kerajaan.

“Persoalannya, sampai bila kerajaan mampu menampung kesan sebenar harga pasaran? Jika keadaan fiskal terus terjejas, pelarasan dasar mungkin sukar dielakkan,” katanya seperti dilapor portal Berita RTM.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat laporan Pemantauan Perekonomian Malaysia (MEM) bagi April 2026, pada Khamis.

Menurutnya, konflik di Asia Barat telah mendorong harga minyak mentah global melepasi unjuran AS$65 setong seperti yang ditetapkan dalam Belanjawan 2026.

Kenaikan itu sekali gus meningkatkan kos subsidi kerajaan secara ketara, dengan subsidi petrol kini dianggarkan mencecah sekitar RM2 bilion sebulan.

Dalam masa sama, subsidi diesel turut meningkat kepada RM1.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.