Subsidi bersasar: Lindungi rakyat dari tempias krisis tenaga global

10 Apr 2026, 8:48 AM
Subsidi bersasar: Lindungi rakyat dari tempias krisis tenaga global

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kerajaan mewujudkan buffer atau penampan dengan mengekalkan penyasaran subsidi RON95 dan diesel pada harga ditetapkan serta menyelaras harga bahan api tidak bersubsidi mengikut pasaran bagi melindungi rakyat daripada kesan langsung krisis tenaga global.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu penting bagi melindungi sektor kritikal termasuk perikanan, pengangkutan awam dan kenderaan logistik berkelayakan yang kekal menikmati diesel pada kadar terkawal.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan. Foto BERNAMA

“Sektor kritikal yang masih menikmati diesel bersubsidi seperti golongan nelayan kekal menikmati diesel pada RM1.65.

“Bagi kenderaan pengangkutan awam darat antaranya bas sekolah dan ekspres, ambulans serta bomba pada harga RM1.88 seliter selain kenderaan logistik berkelayakan dan pengguna di Sabah dan Sarawak pada harga RM2.15 seliter,” katanya pada taklimat krisis tenaga global hari ini.

Beliau berkata tekanan harga global ketika ini berpunca daripada bekalan yang rendah berbanding permintaan yang tinggi, ancaman keselamatan serta kenaikan kos penghantaran dan insurans yang berlipat ganda.

Amir Hamzah berkata bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain, dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan beberapa syarikat minyak menguruskan sumber negara secara bertanggungjawab.

“Kita dapat lihat melalui stesen minyak yang terus beroperasi... rakyat Malaysia masih boleh membeli minyak... ada negara yang sudah mencatunya malah beratus-ratus stesen minyak di negara lain telah ditutup kerana kurang bekalan,” katanya.

Beliau berkata krisis itu wajar dilihat sebagai peluang untuk Malaysia terus membina ketahanan ekonomi dan merebut peluang menjadi masyarakat yang lebih dinamik dan progresif.

“Rakyat memainkan peranan penting... inilah masanya untuk kita ketepikan semua perbezaan pandangan dan pilih untuk bersepakat dalam usaha kita menghadapi krisis termasuk bersederhana dalam amalan seharian.

“Keutamaan kerajaan pada saat ini ialah memastikan keterjaminan bekalan minyak, tenaga, barang-barang asas dan ubat-ubatan mencukupi untuk rakyat… pada masa yang sama, kerajaan berikhtiar supaya ekonomi negara terus terpelihara dan rakyat dilindungi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.