ISTANBUL: Ketua Majlis Strategik Hubungan Luar Iran, Kamal Kharrazi dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang menyasarkan kediamannya di Tehran pada 1 April lalu.
Media milik kerajaan Iran melaporkan, Kharrazi yang juga bekas Menteri Luar Iran dari 1997 hingga 2005, cedera dalam serangan itu sebelum disahkan meninggal dunia.
Agensi berita separa rasmi Fars pula melaporkan isterinya turut terkorban dalam serangan ke atas kediaman mereka.
Ketegangan di rantau itu memuncak selepas AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lalu yang mengakibatkan ribuan maut dan cedera.
Pada Selasa, Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu sebagai usaha membuka laluan kepada perjanjian lebih menyeluruh bagi menamatkan konflik.








