SHAH ALAM, 10 APRIL: Kerajaan menggalakkan rakyat beralih kepada Skim Time of Use (ToU) sebagai langkah menjimatkan bil elektrik serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga negara.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan skim itu membolehkan pengguna menikmati kadar tarif elektrik lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak.
Pendekatan tersebut memberi peluang kepada pengguna mengoptimumkan penggunaan elektrik dengan mengalihkan aktiviti berintensiti tenaga seperti penggunaan pendingin hawa, mesin basuh, pemanas air dan pengecasan kenderaan elektrik ke luar waktu puncak.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik, malah menyumbang kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mampan,” katanya.
Sehingga Februari 2026, seramai 128,868 pengguna telah beralih kepada skim ToU, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pengurusan tenaga yang lebih efisien.
Di bawah skim itu, waktu puncak melibatkan tempoh permintaan elektrik tinggi, lazimnya dari jam 2 petang hingga 10 malam pada hari bekerja dengan kadar tarif lebih tinggi.
Manakala waktu luar puncak merangkumi tempoh permintaan lebih rendah seperti waktu malam hingga pagi, hujung minggu dan cuti umum, dengan kadar tarif lebih rendah.
Kerajaan melihat skim ToU sebagai antara inisiatif penting dalam membantu rakyat mengawal perbelanjaan bil elektrik, menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap serta mengurangkan beban permintaan elektrik semasa waktu puncak.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mempertimbangkan migrasi ke skim berkenaan bagi memanfaatkan struktur tarif lebih fleksibel dan mengamalkan penggunaan tenaga secara lebih bijak dalam kehidupan harian.
Kerajaan juga akan terus mempergiat usaha kesedaran agar manfaat penjimatan tenaga dapat dinikmati secara meluas, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.






