SHAH ALAM, 11 APRIL: Kejadian gempa bumi tidak boleh diramal lebih awal kerana setakat ini belum ada teknologi yang mampu mengesannya sebelum berlaku.
Ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata berbeza dengan fenomena cuaca yang boleh diramal berdasarkan faktor angin dan kelembapan, gempa berlaku secara tiba-tiba apabila tekanan dalam bumi dilepaskan.
Dr Mohd Hisham Mohd Anip menjelaskan dari sudut risiko, Malaysia terletak di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon paling aktif gempa bumi dan gunung berapi di dunia.
“Tiada teknologi di mana-mana negara boleh ramal gempa bumi. Kita bernasib baik tidak berada di zon pertembungan utama plat tektonik. Risiko gempa bumi besar di Malaysia adalah rendah.
“Kebanyakan gempa yang direkodkan di Malaysia berskala kecil, iaitu di bawah magnitud lima, dan dalam banyak keadaan tidak disedari orang ramai,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Mengulas kejadian gempa di Johor sebelum ini, beliau berkata ia disifatkan sebagai luar jangka dan berpunca daripada sesar lama atau ‘sesar tidur’ yang kembali aktif selepas tekanan terkumpul dalam tempoh yang panjang.
Bagaimanapun, keadaan berbeza di Sabah yang terletak lebih hampir dengan zon aktif Lingkaran Api Pasifik.
Menurutnya, kedudukan geografi itu menyebabkan Sabah lebih terdedah kepada risiko gempa bumi berbanding Semenanjung dan Sarawak.
“Cuma di Sabah, negeri itu lebih hampir dengan kawasan pertembungan plat tektonik aktif, justeru risikonya lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu sebelum ini membuktikan kawasan berkenaan boleh mengalami gegaran lebih kuat sehingga memberi kesan ketara termasuk kerosakan dan kehilangan nyawa.
Pada 23 Februari 2026, gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda perairan Sabah, iaitu gegaran terkuat pernah direkodkan di negara ini dalam tempoh 11 tahun.
Gegaran terkuat sebelum ini direkodkan di Malaysia ialah bermagnitud 6.0 di Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015. Kejadian itu mengorbankan 18 nyawa dan kekal sebagai antara tragedi paling diingati dalam sejarah negara.
Pada Sabtu lalu, gempa bumi lemah berukuran 3.1 magnitud melanda perairan Batu Pahat, Johor. Ia merupakan kejadian keempat di daerah itu selepas insiden terakhir pada 14 Mac lalu, juga di perairan Batu Pahat dengan kekuatan 3.2 magnitud.
Pada Ogos 2025, Segamat merekodkan empat kejadian gempa bumi dalam tempoh seminggu iaitu pada 24, 27, 28 dan 29 Ogos, masing-masing dengan magnitud 4.1, 3.2, 2.5 dan 3.4.
Pada 23 Oktober 2025, pemangku Menteri Perladangan dan Komoditi ketika itu berkata Batang Kali dan Ulu Yam di Selangor antara 14 kawasan panas yang dikenal pasti sebagai lokasi berlakunya gempa bumi di negara ini.
Ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kawasan lain termasuk Ranau dan Lahad Datu di Sabah, Niah (Sarawak), Bukit Tinggi dan Janda Baik (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Kenyir (Terengganu), Manjung dan Temenggor (Perak) serta Mersing, Segamat dan Batu Pahat (Johor).








