TEHRAN, 9 APRIL: Lebih 3,000 orang maut di Iran akibat pengeboman oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, kata ketua badan perubatan Iran pada Khamis, sehari selepas gencatan senjata dua minggu mula berkuat kuasa dalam konflik tersebut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kira-kira 40 peratus daripada mayat tidak dapat dikenal pasti, kata Abbas Masjedi Arani, ketua Persatuan Perubatan Forensik Iran, menurut laporan akhbar Shargh.
Jumlah korban dijangka meningkat dengan ketara, kerana aktivis melaporkan lebih 3,000 kematian dalam kiraan yang dikeluarkan beberapa minggu lalu.
Organisasi hak asasi manusia berpangkalan di Norway, Hengaw, melaporkan pada Rabu sekurang-kurangnya 7,650 orang maut dalam konflik itu, termasuk 1,030 orang awam. Angka korban ini tidak dapat disahkan secara bebas.
AS dan Israel melancarkan kempen pengeboman berskala besar ke atas Iran pada 28 Feb, mendorong Tehran membalas dengan serangan di seluruh Asia Barat.
Presiden AS Donald Trump mengumumkan gencatan senjata lewat Selasa, tetapi kebimbangan meningkat bahawa gencatan itu boleh tergugat dengan cepat selepas Israel melancarkan siri serangan udara dahsyat ke atas Lubnan pada Rabu, mengorbankan lebih 200 orang.
Rumah Putih berkata Lubnan tidak termasuk dalam perjanjian gencatan senjata, manakala Iran berkata sebaliknya.








