Tempoh berkabung tamat, orang ramai hadir upacara peringati Khamenei di Tehran

9 Apr 2026, 11:18 AM
Tempoh berkabung tamat, orang ramai hadir upacara peringati Khamenei di Tehran

TEHRAN, 9 APRIL: Orang ramai berkumpul di Tehran pada Khamis bagi menghadiri upacara memperingati Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 28 Februari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Televisyen negara menyiarkan rakaman dari pusat bandar metropolis itu yang menunjukkan orang ramai berkabung atas pemergian bekas pemimpin agung itu.

Upacara itu diadakan sempena berakhirnya tempoh berkabung selama 40 hari, yang merupakan tradisi Islam Syiah.

Penganjur dengan sengaja memilih waktu 9.40 pagi (0610 GMT) untuk perarakan di Tehran bermula, bertepatan dengan waktu Israel mengebom kediaman rasmi Khamenei di ibu negara Iran pada hari pertama perang.

Satu majlis solat untuk Khamenei dijadualkan berlangsung pada Jumaat di Tehran, namun masih belum jelas siapa yang akan memimpinnya.

Anak beliau dan penggantinya, Mojtaba Khamenei, tidak muncul di khalayak sejak dilantik sebagai pemimpin agung pada awal Mac.

Terdapat juga spekulasi mengenai tahap kesihatannya dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth, sekali lagi mendakwa pada Rabu bahawa pemimpin baharu itu “mengalami kecederaan”.

Masih belum jelas bila Khamenei akan dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad, di timur laut Iran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.