Menjelang Aidilfitri, pelbagai jenis kuih raya moden memenuhi pasaran dengan pelbagai inovasi rasa dan rupa untuk kudapan tetamu ketika tradisi berziarah.
Namun di sebalik variasi itu, masih ada segelintir usahawan yang setia mempertahankan warisan kuih tradisional agar tidak ditelan zaman.
Bagi Norazilah Abd Aziz, kuih tradisional bukan sekadar hidangan raya, tetapi sebahagian warisan budaya yang perlu dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi baharu.
Selama lebih 15 tahun, wanita dari Kampung Ampangan Seri Gambut, Tanjung Karang itu gigih mengusahakan perniagaan kuih tradisi - kuih ros, kuih kapit dan agar-agar kering - yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan setia.
Walaupun pelbagai kuih moden menjadi pilihan ramai, wanita berusia 54 tahun itu percaya kuih tradisi masih mempunyai nilai tersendiri dan wajar terus diketengahkan kepada masyarakat, khususnya golongan muda.
“Jika dilihat, orang muda zaman sekarang jika tidak diperkenalkan, mereka tidak tahu bagaimana nama dan rupa kuih tersebut. Mereka didedahkan dengan kuih-kuih berkeju seperti bangkit cheese.
“Sebab itu, selain daripada minat untuk berniaga kuih-kuih ‘lama’, saya mahu perkenalkan kepada generasi muda supaya mereka tahu,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau yang pernah mendapat tempat kedua Anugerah Asas Tani Selangor bagi kategori kuih kapit berinti coklat, berkata perjalanan perniagaannya tidak terlepas daripada cabaran.

Resipi sendiri
Pada peringkat awal, Norazilah sebenarnya mengusahakan perniagaan kerepek pisang. Namun usaha tersebut terpaksa dihentikan selepas bekalan pisang sukar diperoleh apabila banyak pokok rosak akibat penyakit.
Keadaan itu mendorong ibu kepada tiga anak itu mencari alternatif baharu bagi meneruskan sumber pendapatan.
“Saya mengambil inisiatif dengan menghasilkan kuih kapit dan ros menggunakan resipi sendiri dengan menjalankan beberapa penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Alhamdulillah kuih kapit dan ros menjadi pilihan terutama menjelang hari raya. Kuih kapit sahaja sehari kita bancuh 16 kilogram (kg) tepung dan untuk Ramadan hanya bekerja sehingga jam 1 petang sahaja.
“Begitu juga dengan kuih ros, seminggu Ramadan kita telah bancuh lebih 60kg tepung berbanding hari biasa sekitar 3kg sahaja. Permintaan kuih ros juga tinggi tetapi kita tidak boleh buat terlalu awal untuk elak ia berbau,” katanya.
Walaupun beliau menghasilkan kuih kapit dengan pelbagai inti moden seperti coklat, kacang, strawberi dan durian, kuih kapit kosong masih menjadi pilihan ramai pelanggan.
“Kapit kosong memang banyak permintaan sebab mereka nak yang original berbanding yang perasa lain. Yang ada inti banyak permintaan tetapi kosong masih lagi orang cari.
“Saya hasilkan dua jenis kapit kosong iaitu yang lipat dan gulung (semporong). Dua jenis ini sering dicari orang lebih berusia berbanding kanak-kanak yang mahu berinti,” jelasnya.

Selain kuih kapit dan ros, usahawan itu turut mengembangkan perniagaannya dengan menghasilkan agar-agar kering sejak tahun lalu bagi mempelbagaikan produk jualan.
Beliau mengakui kuih berwarna-warni yang diperbuat menggunakan marjerin dan telur itu sering menjadi pilihan pelanggan sama ada untuk dihidangkan kepada tetamu mahupun dijadikan cenderamata.
“Untuk agar-agar kering ini kita buat lebih awal untuk Aidilfitri kerana tidak ada pengeluaran sepanjang Ramadan kerana fokus kepada kuih kapit dan ros.
“Ini kerana, untuk hasilkan agar-agar kering mengambil masa lebih 30 jam untuk dikeringkan,” katanya.
Menariknya, kuih tradisional hasil tangan Norazilah bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat tempatan, malah turut menarik minat pelancong luar negara antaranya Indonesia dan China.
“Apabila orang luar datang, mereka akan dibawa ke galeri jualan saya untuk perkenalkan produk tempatan. Semua pengunjung amat suka dan mengatakan ia sukar didapati.
“Saya berharap pada masa akan datang perniagaan kuih tradisional ini dapat diperluaskan lagi dan terus mendapat sambutan selain tidak dilupakan.”








