PETALING JAYA, 9 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited terhadap kesejahteraan warga emas menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 yang merangkumi lima teras utama iaitu kesihatan, ekonomi, sosial dan keselamatan, pendidikan serta persekitaran.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata pelan tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan kualiti hidup warga emas malah memperkasakan kemahiran penjaga profesional melalui latihan bersama Pakar Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“MBPJ komited memperkukuh sistem penjagaan warga emas dengan menyediakan latihan profesional bersama PPUM melalui Bengkel Penjagaan Warga Emas Petaling Jaya 2025 yang diadakan pada 23 Oktober lalu.
“Peningkatan peratusan warga emas berumur 65 tahun ke atas daripada 7.5 peratus pada 2020 kepada 12.6 peratus pada 2025 menuntut penyediaan persekitaran bandar raya yang lebih mesra dan kondusif bagi memastikan golongan ini kekal aktif dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi perkembangan pelaksanaan Pelan Tindakan Warga Emas Petaling Jaya 2030di Pejabat Datuk Bandar, Menara MBPJ pada 11 Mac lalu.
Mohamad Zahri menambah, MBPJ turut menyediakan pengangkutan awam mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) melalui perkhidmatan PJ City Bus dan van transit dengan ciri Reka Bentuk Sejagat bagi memudahkan pergerakan yang lebih selamat dan selesa.
Selain itu, sebanyak 23 pusat bandar dinaik taraf dengan penambahan alat senaman khas dan kemudahan mesra warga emas seperti di Taman Aman yang menjadikan persekitaran lebih inklusif.
“MBPJ turut menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan percuma selain memastikan penyediaan 67 pusat jagaan warga emas dan rumah orang tua bagi memenuhi keperluan golongan berkenaan.
“Dalam masa sama, MBPJ menitikberatkan pematuhan Reka Bentuk Sejagat dalam setiap projek pembangunan serta menyediakan kemudahan tempat letak kereta khas untuk warga emas bagi menjamin keselesaan dan akses yang lebih mesra,” ujarnya.
Mohamad Zahri menegaskan pelan berkenaan juga bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan warga emas serta membina ekosistem penjagaan yang mampan.
Beliau berharap Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 dapat menjadi model perintis bagi pihak berkuasa tempatan lain selaras dengan hasrat menjadikan bandar tersebut sebagai contoh bandar pintar yang mesra warga emas dan OKU








