SHAH ALAM, 9 APRIL: Tindakan seorang lelaki yang mengamuk dan melibas senjata ke arah anggota polis mencetuskan suasana tegang di sebuah restoran makanan laut di Telok Mengkuang, Kuala Langat pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 3.30 petang melalui anggota MPV Sektor 4 Telok Panglima Garang sebelum pasukan polis segera digerakkan ke lokasi.
"Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati seorang lelaki tempatan bertindak agresif dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan.
"Siasatan awal mendapati suspek telah memecahkan pelbagai barangan di sebuah restoran makanan laut di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, suspek bukan sahaja merosakkan premis, malah turut menyebabkan kerosakan terhadap tiga kenderaan milik orang awam di kawasan berhampiran.
"Malah, suspek bertindak lebih ganas apabila melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan MPV sehingga mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam.
"Hasil tindakan pantas dan cekap anggota di lokasi, suspek berjaya ditahan," katanya.
Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 353, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan," katanya.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki mengejar dan mengacu senjata dipercayai pisau ke arah anggota polis di sebuah restoran.








