Subsidi diesel: Kerajaan teliti mekanisme MyKad, MyKasih

8 Apr 2026, 11:34 AM
Subsidi diesel: Kerajaan teliti mekanisme MyKad, MyKasih

PUTRAJAYA, 8 APRIL: Kerajaan akan meneliti mekanisme untuk memanfaatkan sistem MyKasih dan penggunaan MyKad untuk penyaluran subsidi termasuk diesel kepada rakyat Malaysia.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata mekanisme berkenaan akan diperhalusi oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebelum diputuskan diperingkat Jemaah Menteri dan diumumkan secara muktamad.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan beberapa perkara susulan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang berlangsung semalam, termasuk beberapa ikhtiar yang akan disusuli.

“Ini termasuk cadangan yang diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai pemanfaatan sistem MyKasih dan penggunaan MyKad bagi tujuan pemberian subsidi termasuk diesel untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil ketika sesi taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada 8 April 2026. Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini, Amir Hamzah berkata kerajaan sedang meneliti kemungkinan memperluas penggunaan MyKad dalam pelaksanaan subsidi bersasar diesel susulan kejayaan program BUDI95 bagi petrol RON95.

Beliau berkata langkah itu dilihat mampu memperkemas penyampaian subsidi serta mengurangkan ketirisan, namun memerlukan penelitian rapi dari aspek logistik, penggunaan dan kesiapsiagaan sistem di seluruh negara.

Menurutnya, penggunaan MyKad di bawah pelaksanaan BUDI95 dilihat lebih tersusun dan berupaya mengurangkan risiko ketirisan, selain mencapai matlamat penjimatan tanpa mengubah corak pembelian rakyat secara drastik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.