Dari K-pop ke pentas Asia, Yoshnaa rangkul kemenangan berganda

26 Apr 2026, 3:00 AM
Dari K-pop ke pentas Asia, Yoshnaa rangkul kemenangan berganda
Dari K-pop ke pentas Asia, Yoshnaa rangkul kemenangan berganda
Dari K-pop ke pentas Asia, Yoshnaa rangkul kemenangan berganda

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Minat yang bermula sekadar menonton video tarian K-pop di telefon bimbit kini membawa seorang kanak-kanak melakar kejayaan di pentas antarabangsa.

Yoshnaa Logenthiran, 11, mencipta nama apabila meraih pingat emas kategori bawah 13 tahun serta pingat perak keseluruhan dalam pertandingan berprestij The Dance of Asia 2026 di Chengdu, China.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Highlands itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu kejutan besar buat dirinya.

“Saya berasa sangat gembira dan tidak sangka akan menang. Saya hampir menangis apabila nama saya diumumkan,” katanya kepada Media Selangor.

Minat Yoshnaa terhadap tarian mula berputik sejak usia lima tahun apabila sering menonton video K-pop sebelum menghafal dan mempersembahkan semula setiap langkah di rumah.

Pemenang Dance of Asia 2026, Yoshnaa Logenthiran ketika ditemui di Era Dance Academy, Klang pada 1 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Bakatnya kemudian semakin terserlah dan terus diasah menerusi latihan berterusan.

“Sebahagian besar langkah tarian hampir sama, tetapi perlu diingat dengan baik. Saya banyak berlatih untuk memastikan setiap pergerakan tepat,” jelasnya yang menjadikan Chiquita daripada kumpulan BABYMONSTER sebagai inspirasi.

Walaupun berdepan persaingan sengit daripada peserta lain yang lebih berpengalaman, Yoshnaa tidak menjadikan halangan itu sebagai alasan untuk berputus asa.

“Saya fikir saya tidak akan menang kerana peserta lain sangat hebat. Tetapi saya cuba buat yang terbaik,” katanya.

Seimbang akademik dan minat

Di sebalik kejayaan tersebut, Yoshnaa tetap menitikberatkan pendidikan. Baginya, keseimbangan antara pelajaran dan minat amat penting.

“Jika pelajaran saya tidak baik, saya mungkin akan berhenti menari,” ujarnya.

Sementara itu, jurulatih seni akrobatiknya, Yee Woan Tyng menyifatkan Yoshnaa sebagai seorang yang berdisiplin tinggi dan konsisten sepanjang latihan.

Menurutnya, perkembangan Yoshnaa bukan sahaja ketara dari segi teknik, malah turut melibatkan kekuatan mental dan stamina.

“Tekanan agak tinggi kerana dia perlu menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu, tetapi Yoshnaa mampu kekal fokus. Saya sentiasa memberi kepercayaan dan keyakinan supaya dia terus maju,” katanya.

Yoshnaa Logenthiran, 11, melakukan latihan di Era Dance Academy, Klang pada 1 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Tambah beliau, keunikan persembahan Yoshnaa yang menggabungkan elemen tarian tradisional Cina dan K-pop menjadi kelebihan utama dalam pertandingan tersebut.

Kombinasi itu bukan sahaja menarik perhatian juri, malah memenuhi kriteria pemarkahan yang menilai ketepatan masa, ekspresi dan kekemasan pergerakan.

Sokongan keluarga jadi kekuatan

Bagi ibunya, Mohanaeswary Balachandar, kemenangan itu adalah detik yang amat menyentuh hati.

“Saya sangat terharu, seolah-olah semua usaha kami terjawab,” katanya.

Beliau mengakui pada awalnya agak terkejut melihat minat anaknya terhadap K-pop yang berbeza daripada budaya sendiri.

Namun, selepas melihat kesungguhan Yoshnaa, beliau mengambil keputusan untuk memberi sokongan penuh.

“Saya tidak menganggapnya sebagai pengorbanan, tetapi tanggungjawab sebagai ibu. Apa yang penting adalah memastikan keseimbangan antara pelajaran dan minat,” jelasnya.

Mohanaeswary Balachandar menemani Yoshnaa Logenthiran menjalani latihan di Era Dance Academy, Klang pada 1 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam usaha membina keyakinan diri, Yoshnaa turut didedahkan dengan pelbagai persembahan amal bagi mengurangkan rasa gugup di pentas.

Mengakhiri perbualan, Yoshnaa menitipkan nasihat kepada rakan seusia agar tidak mudah berputus asa.

“Teruskan berusaha kerana suatu hari nanti, usaha keras pasti akan membuahkan hasil,” katanya penuh yakin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.