SHAH ALAM, 10 APR: Menjadi sasaran kemarahan bapanya sejak kecil mendorong Lili (bukan nama sebenar) mencari ketenangan di luar rumah hingga terjerumus dalam kegiatan seks bebas seawal usia 14 tahun.
Lili mendedahkan setiap kali perniagaan bapanya berdepan masalah, beliau menjadi tempat bapanya melampiaskan amarah termasuk dipukul, malah hampir dicederakan menggunakan pisau.
Dia tidak lagi betah tinggal di rumah. Perasaan benci terhadap bapanya kian menebal lalu memilih menghabiskan banyak masa di luar semata-mata bagi mengelaknya dari bertentang mata.
“Ibu bapa bercerai dan saya tinggal dengan nenek. Setiap kali perniagaan ayah bermasalah, saya jadi mangsa. Saya sering dipukul, nenek cuba halang tetapi kudratnya tidak seberapa.

“Saya lebih banyak berada di luar rumah dan menumpang tidur di rumah kawan berminggu-minggu. Keluarga kawan pula sibuk bekerja, menyebabkan kami bebas melakukan perkara tidak bermoral,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Lili yang kini menghuni Rumah Perlindungan Baitul Ehsan, keadaan itu berlarutan beberapa tahun hingga beliau dan rakan-rakan hanyut dalam gejala sosial, tambahan nenek dan ahli keluarga lain tidak dapat menghidu pelakuannya.
“Kami kerap mengadakan parti dan mengamalkan seks bebas. Bertukar-tukar pasangan dan tidur dengan ramai lelaki. Kehidupan saya masa itu tenang dan aman.
“Apabila terbiasa dengan kehidupan begitu, saya seakan-akan melupakan segala yang berlaku di rumah, lupa dengan ayah,” katanya yang kini berusia 17 tahun.
Beliau pernah mengadu sikap baran bapa kepada ibunya, sebaliknya beliau pula dipersalah. Kekecewaan itu mendorongnya menjalani kehidupan sendiri dan beberapa kali lari dari rumah.
“Keluarga buat laporan polis. Saya menjalani pemeriksaan kesihatan, itu punca saya dihantar ke sini. Saya bersyukur kerana diselamatkan lebih awal sebelum perkara lebih buruk berlaku.
“Di sini banyak yang menyedarkan saya. Apabila keluar, saya tekad menutup aurat dengan baik dan menyambung pelajaran. Cuma rasa marah terhadap ayah masih ada kerana saya berasa dia punca,” katanya.
Aisyah (bukan nama sebenar) pula mendedahkan kehidupan serba kekurangan bersama nenek yang uzur selepas dihalau ibu bapa menyebabkan beliau bergantung sepenuhnya kepada teman lelaki.
Segala keperluannya dibantu lelaki berusia awal 20-an tanpa mengira waktu hingga mendorong gadis berusia 17 tahun itu menyerahkan tubuh hingga hamil anak luar nikah.
“Hidup susah dengan nenek tetapi teman lelaki banyak membantu. Apabila saya pulang ke asrama, dia sanggup datang dari Shah Alam sejauh lebih 200 kilometer untuk menghantar saya.
“Kemuncaknya, saya lari dari asrama selama seminggu dan tinggal bersama. Keluarga buat aduan polis. Selepas pemeriksaan, saya disahkan hamil. Kini kandungan melebihi empat bulan,” katanya.
Aisyah reda dengan ketentuan itu tetapi belum membuat keputusan sama ada mahu menjaga bayi yang dijangka lahir pada Julai atau menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Di sini banyak mengajar saya. Bukan hanya berkaitan agama tapi juga dari segi kemahiran. Saya harap bila keluar, saya boleh manfaatkan kursus untuk kehidupan lebih baik,” katanya.







