SEPANG, 6 APRIL: Malaysia akan mengetuai pelaksanaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 dengan menggerakkan lima fasa strategik bagi membantu rakyat Palestin khususnya di Gaza yang terjejas akibat serangan rejim Zionis.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata fasa pertama melibatkan bantuan secara darat dan laut.
“Melalui laluan darat, kita akan menghantar bantuan kecemasan lebih 300 tan barangan keperluan melalui 30 kontena. Ia termasuk bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan musim sejuk yang amat mendesak untuk 100,00 penduduk Gaza yang terkesan.
“Untuk laluan laut melalui misi Global Sumud Flotilla 2.0, ia adalah kesinambungan kepada usaha global. Kapal flotilla akan bergerak dari pelabuhan di Eropah, bermula dari Barcelona dan akan cuba menembusi sekatan laut untuk sampai ke perairan Gaza. Misi ini melibatkan penyertaan aktivis dari hampir 100 negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Dr Ahmad Sani menambah bagi fasa kedua pula satu sidang media antarabangsa turut dirancang di Rafah bagi menjelaskan pendirian Malaysia terhadap isu kemanusiaan di Gaza.
Mengulas lanjut, beliau berkata fasa ketiga akan menyaksikan pergerakan kumpulan misi dari pelbagai segmen masyarakat yang akan diterbangkan ke beberapa lokasi utama termasuk Barcelona dan Itali.
“Penyertaan kali ini melibatkan 100 negara berbanding hanya 44 negara sebelum ini, dengan kira-kira 70 kapal telah bersedia di pelabuhan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata fasa keempat akan memberi tumpuan penganjuran kongres parlimen melalui World Sumud Summit Parliamentary Inaugural Congress di Brussels yang menghimpunkan wakil rakyat pelbagai negara bagi menggesa tindakan lebih tegas di peringkat antarabangsa.
“Fasa kelima pula melibatkan tindakan perundangan dengan usaha mengheret rejim ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) melalui saluran undang-undang oleh Centre For Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) di bawah naungan Wisma Putra,” ujarnya.
Pada 3 April lalu, Pejabat Dato’ Menteri Besar memaklumkan Amirudin akan mewakili Malaysia untuk mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai usaha menyalurkan bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan Amirudin mewakili Malaysia mengetuai misi Global Sumud Flotilla 2.0 ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut Anwar, keputusan itu dibuat susulan keperluan rundingan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan Mesir dan Qatar selain berkait dengan penghantaran kontena bantuan berskala besar.
Sekretariat Global Sumud Flotilla semalam mengumumkan misi akan berlepas sekali lagi ke Gaza pada 12 April ini dalam misi terbaharu cuba memecahkan kepungan haram Israel ke atas wilayah Palestin.
Misi kemanusiaan itu, yang disifatkan terbesar pernah digerakkan oleh masyarakat sivil, dijadual berlepas dari Barcelona melibatkan 80 kapal serta lebih 1,000 aktivis.









