Baitul Ehsan tawar kursus kemahiran lanjutan buat bekas pelatih

10 Apr 2026, 1:00 AM
Baitul Ehsan tawar kursus kemahiran lanjutan buat bekas pelatih
Baitul Ehsan tawar kursus kemahiran lanjutan buat bekas pelatih
Baitul Ehsan tawar kursus kemahiran lanjutan buat bekas pelatih
Baitul Ehsan tawar kursus kemahiran lanjutan buat bekas pelatih

SHAH ALAM, 10 APR: Rumah Perlindungan Baitul Ehsan menyediakan kursus kemahiran tinggi kepada semua bekas pelatih supaya kebolehan mereka benar-benar memenuhi kelayakan dan keperluan industri.

Rumah perlindungan di Sabak Bernam yang ditubuhkan pada 2001 itu selama ini berperanan untuk memulihkan akhlak wanita termasuk kalangan remaja bermasalah melalui perintah mahkamah.

Menurut Penguasanya Nazatulshima Osman, pihaknya akan memanggil hampir 2,000 bekas pelatih untuk menyertai kursus lanjutan bidang kulinari, jahitan dan kraftangan mulai tahun ini.

Penguasa Rumah Perlindungan Baitul Ehsan Nazatulshima Osman. Foto KHAIRUL HELMY

Beliau percaya inisiatif sedemikian membantu mereka membina hidup baharu selepas menjalani proses pemulihan sekali gus mengelakkan mereka kembali terjerumah ke lembah kegelapan.

“Kita akan lihat apa keperluan mereka. Lepas itu, kita cuba bantu dengan kerjasama sektor kerajaan dan swasta. Jadi, ini akan perluas kemahiran mereka selain bantu jana pendapatan.

“Kita akan panggil semula bekas pelatih untuk tingkatkan lagi kemahiran serta salur bantuan sesuai. Matlamat kita memastikan mereka ada pekerjaan dan masa diisi perkara bermanfaat.

“Masa terluang tanpa pengisian be-risiko membuka ruang untuk kembali melakukan perkara tidak bermoral,” katanya kepada Media Selangor.

Nazatulshima menjelaskan bekas pelatih menjalani kemahiran asas dalam ketiga-tiga bidang itu manakala bantuan modal diperoleh melalui kerjasama agensi kerajaan dan swasta selain Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Katanya lagi, semua pelatih sebelum ini mengikuti kelas fardu ain bersama guru pembimbing diikuti kawad manakala kelas kemahiran dalam tiga bidang itu diadakan pada sebelah petang.

Dilindungi enakmen

Selain itu, beliau berkata Selangor satu-satunya negeri memiliki pusat pemulihan yang dilindungi enakmen tertentu sekali gus mengelakkan pelatih dihukum penjara dan terpalit status banduan.

“Apabila mahkamah jatuhi hukuman, mereka dihantar ke penjara. Namun di Selangor, mahkamah boleh perintahkan mereka menjalani pemulihan di Baitul Ehsan sebagai sebahagian hukuman.

“Ini elakkan mereka dari memiliki rekod jenayah yang boleh jejaskan masa depan. Tambahan pula, penginapan dan pemulihan percuma di sini, tertakluk syarat tertentu,” katanya lagi.

Nazatulshima berkata ada 26 rumah pemulihan yang diurus badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini tetapi kemasukan ke situ lazimnya dikenakan bayaran antara RM800 hingga ribuan ringgit.

Beliau juga memberitahu Baitul Ehsan menjadi rujukan beberapa negeri termasuk Pahang, Johor, Kedah, Sabah dan Sarawak dan mereka kerap membuat lawatan bagi meneliti kaedah operasi.

Antara aktiviti penghuni Rumah Perlindungan Baitul Ehsan. Foto KHAIRUL HELMY

“Setakat ini, Terengganu mempunyai memorandum persefahaman (MoU) dengan Baitul Ehsan. Baitul Ehsan juga dalam proses memeterai MoU dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau memberitahu mahkamah boleh memerintah wanita bermasalah di Terengganu untuk menjalani pemulihan di Baitul Ehsan kendalian MAIS hasil pemeteraian itu.

Nazatulshima memberitahu penceraian ibu bapa antara faktor utama yang menyumbang kepada gejala sosial termasuk pergaulan bebas hingga ada yang hamil pada usia terlalu muda.

“Ramai dalam kalangan mereka tidak menerima kasih sayang, perhatian dan didikan sempurna seperti dinikmati institusi keluarga yang stabil. Hidup mereka terasa tidak lengkap.

“Ada tinggal bersama ibu, ada bersama ayah. Ada juga diserahkan kepada nenek yang lanjut usia, mencecah 70 atau 80 tahun. Ada menumpang dengan pakcik atau saudara-mara. Malah, ada tidak kenal langsung ibu bapa kandung,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.