SHAH ALAM, 6 APRIL: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas pengasuh atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian bayi perempuan berusia tiga bulan, Qaseh Aulia Faizul, tiga tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh mendapati pihak pembelaan yang mewakili Mulyati Kalim, 54, yang juga warga Indonesia, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya, lapor Berita Harian.
Selain hukuman penjara bermula tarikh sabitan, Mulyati juga dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan dua penjamin warganegara tempatan berserta cagaran RM5,000.
Dia juga perlu melengkapkan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam masa enam bulan.
Kedua-dua hukuman tambahan itu perlu dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.
Peguam, Badrul Munir Bukhari yang mewakili tertuduh, memohon hukuman dikurangkan mengambil kira tertuduh memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan mahkamah, selain ia kesalahan pertama tertuduh.
"Tertuduh mempunyai suami warga Malaysia berusia 62 tahun yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji kurang RM2,000 sebulan.
"Tertuduh tidak bekerja sejak insiden 10 Oktober 2023 (kematian Qaseh Aulia) dan mempunyai tiga anak kandung serta seorang anak angkat," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh mengambil kira kehilangan nyawa bayi serta memberi pengajaran kepada masyarakat.
Semasa prosiding, pasukan pembelaan turut memohon untuk menangguhkan hukuman penjara manakala pendakwaan membantah permohonan terbabit.
Mahkamah menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan hukuman.
"Mahkamah berpandangan cadangan pemfailan satu rayuan oleh tertuduh bukanlah justifikasi untuk membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 311 Akta Tatacara Jenayah.
"Selain itu, mahkamah berpandangan alasan yang dikemukakan terutama berhubung dengan tertuduh sebagai pesalah pertama, tertuduh sentiasa hadir ke mahkamah pada tarikh sebutan dan perbicaraan serta secara konsisten memperbaharui pas lawatan untuk berada di Malaysia, bukanlah keadaan istimewa atau khas," katanya.
Bagi hujahan peguam bahawa terdapat isu undang-undang berkenaan interpretasi perkataan 'pemeliharaan' dan 'kecuaian' di bawah Akta Kanak-kanak 2001, Syahliza berkata, tiada tafsiran undang-undang bagi perkataan dalam fakta tersebut mahupun Kanun Keseksaan, maka interpretasi perkataan-perkataan itu bergantung kepada fakta setiap kes.
"Berdasarkan alasan ini, mahkamah memutuskan tiada keadaan istimewa atau keadaan khas yang mewajarkan kebenaran diberikan kepada permohonan pembelaan.
"Oleh itu, permohonan pembelaan untuk bergantung pelaksanaan hukuman ditolak. Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman serta-merta," katanya.
Mengikut pertuduhan, Mulyati didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Qaseh Aulia, telah bertindak cuai sehingga menyebabkan kematian bayi itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara, di sini, pada 9.40 pagi, 10 Oktober 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.








