Wakil rakyat Kajang gesa operasi skala besar tangani isu anjing liar

6 Apr 2026, 2:00 AM
Wakil rakyat Kajang gesa operasi skala besar tangani isu anjing liar
Wakil rakyat Kajang gesa operasi skala besar tangani isu anjing liar

HULU LANGAT, 6 APRIL: Isu anjing liar yang berlarutan di Kajang mendorong wakil rakyat kawasan itu menuntut tindakan lebih menyeluruh bagi melindungi keselamatan penduduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong menggesa operasi besar-besaran dilaksanakan bagi menangani masalah itu, khususnya melibatkan kes gigitan dan haiwan berkeliaran di kawasan perumahan.

“Kalau boleh, kita di Selangor buat satu operasi besar-besaran. Kalau staf kita tidak cukup, kita pinjamlah daripada jabatan lain untuk satu bulan sahaja.

"Kita buat operasi sungguh-sungguh. Lepas itu saya yakin, masalah akan dapat kita selesaikan,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong menyantuni tetamu yang hadir dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Balai Raya Kampung Batu 13, Hulu Langat pada 5 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui pada rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 13 di sini yang dihadiri kira-kira 1,000 penduduk, semalam.

Menurutnya, antara kekangan utama ialah ketiadaan lokasi penempatan bagi anjing yang ditangkap, menyebabkan tindakan diambil tidak konsisten serta gagal menyelesaikan isu secara menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan penyediaan kawasan khas sementara seperti tanah terbiar atau kawasan hutan untuk menempatkan anjing liar secara terkawal dalam tempoh tertentu.

“Selepas ditangkap, saya cadangkan anjing itu diletakkan di kawasan tanah hutan atau tanah yang tidak digunakan kerana ada banyak juga di sini. Bukan minta hak milik, tetapi pinjam, mungkin dalam tempoh lima tahun kerana anjing itu juga perlu dijaga selepas ditangkap.

“Tapi asingkan jantan dan betina. Biasanya, jangka hayat anjing ini pun tidak lama. Jadi kira-kira lima hingga tujuh tahun akan mati secara semula jadi, selepas itu kita boleh bersihkan kawasan terlibat,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong bercakap kepada media dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Balai Raya Kampung Batu 13, Hulu Langat pada 5 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan saranan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin agar haiwan terbiar diurus secara berperikemanusiaan dan tidak dibunuh sewenang-wenangnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Kempen Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku akan diteruskan di enam lagi sekolah menengah di Selangor tahun ini bagi memupuk amalan kebersihan dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, kempen itu turut menekankan aspek pengurusan sisa, kitar semula dan pemeliharaan persekitaran dengan penglibatan beberapa agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Kita akan tekankan, buang sampah dengan cara betul di tempat yang betul kerana kebersihan itu sangat penting untuk dipelihara,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.