HTA pecat personel MySTEP terlibat penipuan RM47,000

4 Apr 2026, 3:57 AM
HTA pecat personel MySTEP terlibat penipuan RM47,000

SHAH ALAM, 4 APR: Hospital Tunku Azizah (HTA) menamatkan perkhidmatan seorang personel MySTEP yang didakwa terlibat penipuan membabitkan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) hingga menyebabkan kerugian lebih RM47,000.

HTA dalam kenyataan memaklumkan, semua akses individu terbabit ke sistem dan fasiliti hospital turut disekat serta-merta.

Menurutnya, tindakan itu diambil bagi melindungi keselamatan data, menjaga integriti institusi serta memastikan kebajikan petugas kesihatan terus terpelihara.

“HTA tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku integriti atau aktiviti jenayah yang menjejaskan kakitangan dan nama baik institusi,” menurut kenyataan itu.

Kes berkenaan dilaporkan melibatkan kira-kira 190 PPS yang mengalami kerugian keseluruhan RM47,120 susulan dakwaan penipuan oleh individu terbabit.

HTA turut menegaskan tiada sebarang kutipan wang tunai atau pindahan ke akaun peribadi dibenarkan bagi urusan rasmi termasuk bayaran balik emolumen atau yuran kursus, dan individu berkenaan tidak pernah diberi kuasa berkaitan kewangan.

Dalam masa sama, pihak hospital telah mengadakan sesi libat urus bersama PPS yang terkesan bagi mendapatkan maklumat lengkap termasuk butiran transaksi bagi membantu siasatan lanjut.

Kes itu kini dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan HTA memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya bagi memastikan tindakan undang-undang diambil secara telus dan adil.

HTA turut menegaskan komitmennya untuk mempertahankan integriti perkhidmatan kesihatan awam serta memastikan kebajikan petugas, khususnya doktor muda, sentiasa dilindungi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.