Lonjakan harga minyak bukan hanya didorong permintaan, malah kos pengangkutan, premium insurans

4 Apr 2026, 2:54 AM
Lonjakan harga minyak bukan hanya didorong permintaan, malah kos pengangkutan, premium insurans

KUALA LUMPUR, 4 APR: Harga minyak mentah global yang melonjak sehingga US$120 (US$1 = RM4.02) setong bukan semata-mata didorong oleh permintaan dan pembekalan sebaliknya turut dipengaruhi faktor geopolitik, kos penghantaran dan premium insurans.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata sejak konflik Asia Barat tercetus pada 28 Feb, 2026, harga minyak mentah naik 40 peratus, kos pengangkutan menokok antara 47 peratus hingga 176 peratus manakala premium insurans melonjak sehingga 337 peratus.

“Selat Hormuz merupakan laluan kritikal bagi penghantaran kira-kira 20 peratus bekalan minyak global dan sebahagian besar minyak dan gas asli cecair (LNG) global setiap hari.

“Gangguan di sini (Selat Hormuz) memberi kesan langsung kepada seluruh ekonomi dunia. Tidak ada pihak yang terlindung sepenuhnya (daripada kesan itu),” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global di saluran TV1, Radio Televisyen Malaysia, malam ini.

Beliau berkata pengangkutan lebih 30 peratus bekalan helium dunia, hasil sampingan pemprosesan gas serta 30 peratus bekalan baja dunia, termasuk urea, potasy, ammonia dan fosfat juga melalui Selat Hormuz sebelum berlaku konflik itu.

Selain Selat Hormuz, laluan alternatif untuk penghantaran minyak adalah melalui Fujairah atau Yanbu di Asia Barat juga tergendala seterusnya mengakibatkan harga minyak mentah meningkat.

“Pihak yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan minyak mentah tersebut akan mengambil risiko. Premium insurans pula meningkat kerana (kapal perlu) melalui zon konflik atau kawasan yang telah dikenal pasti berlakunya konflik,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata ekoran konflik tersebut, harga minyak mentah yang dilaporkan hanya mencerminkan keadaan pasaran semasa dan bukanlah harga terakhir kerana kos lain sebenarnya perlu ditambah.

“Ini kerana pembelian daripada pengeluar perlu ditambah dengan kos penghantaran, kos insurans, kos pengangkutan, dan apabila tiba di sini (Malaysia), perlu ambil kira kos logistik untuk sampai ke destinasi (seterusnya).

“Jadi, bagi penghantaran fizikal, harga mungkin mencecah US$100 namun ada tambahan US$10 atau US$15 lagi sebelum sampai untuk tujuan pemprosesan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat mekanisme harga yang dapat melindungi rakyat daripada kenaikan harga susulan Malaysia melaksanakan subsidi bersasar.

“Di Malaysia, dengan adanya subsidi bersasar, insya-Allah dalam masa terdekat dan setelah kita lihat ada usaha untuk menstabilkan bekalan, harganya dapat melindungi rakyat daripada lonjakan.

“Ini masih membolehkan Petronas dan pemain industri lain menjual, melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.