Lelaki dera anak kucing di premis dobi layan diri ditahan

3 Apr 2026, 2:00 PM
Lelaki dera anak kucing di premis dobi layan diri ditahan

SHAH ALAM, 3 APRIL: Seorang lelaki ditahan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor selepas tular rakaman video yang menunjukkan dia mendera seekor anak kucing di sebuah premis dobi layan diri di sini.

Dalam video tersebut, lelaki berkenaan dilihat mencampakkan anak kucing ke dinding dan atas tilam berulang kali, dipercayai berlaku di kawasan sekitar daerah ini.

Rakaman berdurasi 59 saat itu tular di media sosial sejak semalam.

JPV Selangor berkata, bertindak atas maklumat dan aduan awam, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan (PKH) ke lokasi kejadian jam 11 pagi ini untuk tujuan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati seekor anak kucing dipercayai haiwan sama dalam video berkenaan berada di lokasi kejadian.

"Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki terbabit turut ditemui di lokasi sebelum ditahan untuk siasatan lanjut," katanya melalui kenyataan.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara jam 3.40 pagi hingga 3.50 pagi semalam dan suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

JPV Selangor berkata, pihaknya turut menyita seekor anak kucing, sebuah telefon bimbit dan seutas tasbih dipercayai milik suspek bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.