Rasuah RM1 juta, pengarah urusan syarikat antara dua ditahan SPRM

3 Apr 2026, 10:40 AM
Rasuah RM1 juta, pengarah urusan syarikat antara dua ditahan SPRM

SHAH ALAM, 3 APRIL: Dua lelaki termasuk pengarah urusan sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta.

Rasuah itu diminta dan diterima daripada pengarah syarikat pembekal pasir, sebagai balasan tidak melaporkan perbuatan rasuah syarikat terbabit kepada SPRM.

Selain pengarah urusan syarikat itu, seorang lagi yang ditahan membabitkan individu tidak bekerja yang disyaki suspek utama, lapor Berita Harian.

Menurut sumber, kedua-dua mereka berusia lingkungan 50-an itu ditahan secara berasingan antara jam 2 petang dan 8 malam semalam di sebuah restoran sekitar Pulau Pinang dan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka melakukan perbuatan itu pada Mac lalu.

"Semalam suspek utama ditahan melalui satu operasi khas dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sebuah restoran di mana tiga keping cek bernilai kira-kira RM1 juta diserahkan kepadanya," katanya.

Tambah sumber itu lagi, suspek utama turut disyaki mengugut untuk membuat laporan kepada SPRM sekiranya wang diminta tidak dibayar.

Susulan tangkapan itu, katanya SPRM menyita beberapa barangan seperti tiga keping cek bernilai kira-kira RM1 juta dan empat unit telefon bimbit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek itu.

"Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan setakat ini seorang saksi sudah diambil keterangan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.