KPDN Selangor guna dron, rondaan berkala kekang aktiviti seleweng minyak

3 Apr 2026, 7:08 AM
KPDN Selangor guna dron, rondaan berkala kekang aktiviti seleweng minyak
KPDN Selangor guna dron, rondaan berkala kekang aktiviti seleweng minyak
KPDN Selangor guna dron, rondaan berkala kekang aktiviti seleweng minyak

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memperketat pemantauan di seluruh stesen minyak negeri ini dengan penggunaan dron serta rondaan berkala bagi mengekang penyelewengan bahan api susulan konflik Asia Barat.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor Mohd Hanizam Kechek berkata langkah bersepadu itu dilaksana secara berterusan melibatkan 809 stesen minyak dan 79 pemborong diesel serta petrol, bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan.

“KPDN Selangor meneruskan pemantauan bagi mengekang pembelian dan penjualan bahan api secara tidak sah melalui pelbagai kaedah termasuk rondaan berkala.

“Tumpuan diberikan kepada 12 stesen minyak yang dikenal pasti mempunyai jumlah jualan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Hanizam Kechek ditemui media ketika OPR TIRIS 4.0 (bersepadu) di stesen minyak BHP Petrol Bandar Sultan Sulaiman Port Klang pada 3 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata, penggunaan dron meningkatkan keupayaan penguat kuasa menjalankan risikan udara, khususnya dalam memantau premis yang disyaki terlibat dalam aktiviti mencurigakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Selain pemantauan darat dan udara, KPDN Selangor turut memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memantau kapal perdagangan yang menggunakan bahan api.

Suasan sekitar OPR TIRIS 4.0 (bersepadu) di stesen minyak BHP Petrol Bandar Sultan Sulaiman Port Klang pada 3 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Langkah lain termasuk penempatan van aduan bagi memudahkan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang salah laku,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan satu kes melibatkan pemborong minyak yang disyaki mempunyai isu dokumentasi mencurigakan telah dikesan semalam, dengan kertas siasatan dibuka hari ini.

KPDN turut menjelaskan bahawa pembelian bahan api di bawah 20 liter menggunakan bekas yang selamat adalah dibenarkan di mana-mana stesen minyak tanpa perlu mendapatkan kelulusan kementerian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.