SHAH ALAM, 5 APR: Hampir 400 pelajar tahfiz naungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) menyertai laluan khas atau Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun sejak 2019.
Presidennya, Dr Muhamad Hafiz Haneefa memberitahu program sedemikian memberi peluang kepada mereka untuk menduduki SPM dalam tempoh singkat iaitu sekitar tujuh hingga lapan bulan.
Beliau menjelaskan kadar pencapaian akademik mencapai hampir 100 peratus kelulusan sekali gus membuktikan mereka berupaya mencapai kecemerlangan walaupun belajar pada hujung minggu.
“Malah tahun lalu sahaja, lebih 15 pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan 7A dan 8A,” katanya kepada Media Selangor.

Dr Muhamad Hafiz percaya Kurikulum Moderasi Tahfiz Selangor yang turut memuatkan mata pelajaran asas termasuk sains dan matematik membantu pelajar membuat persediaan peperiksaan.
“Melalui kurikulum itu, pelajar tahfiz turut mempelajari matematik dan sains supaya mereka mempunyai asas akademik yang mencukupi untuk menghadapi peperiksaan,” katanya.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam belanjawan negeri pada 2019 menyediakan peruntukan RM1.94 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk laluan khas itu.
Pelaksanaan berkenaan khusus buat sekolah tahfiz persendirian sepenuh masa Kerajaan Negeri bagi memudahkan pelajar tahfiz dari sekolah persendirian menduduki SPM dalam tempoh setahun.
Selangor jadi rujukan
Selain itu, Dr Muhamad Hafiz berkata Selangor menjadi rujukan utama dalam pelbagai isu berkaitan institusi tahfiz pada peringkat kebangsaan berikutan pendekatan dasar dan pengurusan di negeri ini.
Beliau memberitahu banyak isu berkaitan pendidikan tahfiz di Malaysia sebenarnya ditangani lebih awal melalui pendekatan yang dibangunkan Selangor.

Katanya, PITAS juga memainkan peranan penting membantu kerajaan membangunkan pelbagai dasar berkaitan pengajian tahfiz bersama beberapa agensi lain.
Jelasnya, PITAS terlibat secara langsung dalam membina dasar bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kementerian Pendidikan.
“Antara yang dibangunkan termasuk Dasar Pengurusan Tahfiz Selangor yang menjadi antara model penting dalam pengurusan institusi tahfiz,” katanya.
Selain itu, PITAS turut terlibat dalam penyelidikan peringkat kebangsaan dan antarabangsa bersama universiti bagi memperkukuh dasar pendidikan tahfiz.
“Antara projek penyelidikan besar ialah kajian dasar pengurusan dan kurikulum murid tahfiz di Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan pada 2020 dengan peruntukan sekitar RM400,000.
“Selain itu, terdapat juga projek penyelidikan berkaitan TVET Tahfiz yang melibatkan peruntukan kira-kira RM500,000,” katanya lagi.
Menurut Dr Muhamad Hafiz, PITAS turut membantu membangunkan standard pendidikan tahfiz termasuk penyelarasan Sijil Kemahiran Malaysia bagi memastikan institusi itu memiliki sistem pengiktirafan dari segi pengurusan, integriti dan kewangan.
Bantuan maahad persendirian
Semua maahad tahfiz persendirian yang berdaftar di Selangor akan menikmati pelbagai bantuan bernilai sehingga RM100,000 setahun, bergantung kepada keperluan mereka.
Menurut presiden Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS), bantuan tersebut akan disalur pelbagai agensi negeri selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“(Nilai) bantuan yang diberi boleh mencecah antara RM30,000 hingga RM100,000 setahun bergantung kepada keperluan dan keadaan institusi,” kata Dr Muhamad Hafiz Haneefa.

Beliau memberitahu ia disalur kepada 460 maahad yang menyertai program pemutihan iaitu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Kerajaan Selangor turut menyediakan bantuan tambahan sekitar RM20,000 hingga RM30,000 setahun bagi membantu pengurusan institusi tahfiz berdaftar.
“Semua ini menunjukkan apabila institusi tahfiz berdaftar secara rasmi, lebih banyak bantuan dapat disalur kepada sekolah, guru dan juga pelajar,” katanya.
Menurut Dr Muhamad Hafiz, maahad tahfiz berdaftar juga berpeluang mengikuti pelbagai kursus dan latihan berkala yang disediakan kepada agensi agama peringkat persekutuan dan negeri.
Baru-baru ini, EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata proses pemutihan dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku akhir tahun ini dan hanya 14 maahad belum berbuat demikian.









