Bantuan pendidikan untuk lepasan SPM, Selangor sedia pelbagai inisiatif

5 Apr 2026, 1:00 AM
Bantuan pendidikan untuk lepasan SPM, Selangor sedia pelbagai inisiatif
Bantuan pendidikan untuk lepasan SPM, Selangor sedia pelbagai inisiatif

SHAH ALAM, 5 APR: Kerajaan Selangor menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini untuk meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi.

Bantuan meliputi biasiswa atau pinjaman (rujuk gambar rajah) bertujuan memudahkan mereka menyambung pengajian ke menara gading baik ke universiti tempatan mahupun luar negara atau kolej kemahiran. 

Menurut Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor, pihaknya juga menyediakan bantuan kepada lepasan SPM yang memilih laluan ke tingkatan enam.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas program Edaran Juadah Berbuka di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau menjelaskan laluan berkenaan yang membawa kepada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) masih menjadi pilihan ribuan pelajar setiap tahun untuk layak ke universiti.

Katanya, Selangor akan membuat pengumuman rasmi berkaitan bantuan merangkumi peranti serta data internet percuma selama dua tahun iaitu tempoh pengajian tingkatan enam sekitar April.

“Pelajar tingkatan enam sering terlepas pelbagai bantuan. Kita tidak mahu mereka dilihat pilihan kedua hanya kerana tidak terus ke universiti atau kolej,” katanya kepada Media Selangor. Keputusan SPM diumumkan pada 31 Mac.

Ahmad Azri memberitahu inisiatif pertama kali itu membabitkan kuota 300 pelajar dan pemilihan akan dibuat melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan kesemua Pejabat Pendidikan Daerah bagi mengenal pasti pelajar yang layak.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor menyediakan baucar buku bernilai RM200 kepada pelajar tingkatan enam bagi membantu mereka membeli bahan bacaan rujukan yang diteruskan tahun ini.

Bantuan Pendidikan Negeri Selangor. Grafik FARAH AZILA MUSTAPHA

Pada tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan sebanyak RM400,000 disediakan bagi meneruskan inisiatif itu yang dijangka bertambah pada tahun ini.

Seramai 413,372 pelajar menduduki peperiksaan SPM di seluruh negara antara 3 November hingga 23 Disember pada tahun lalu. Bilangan tersebut termasuk 73,899 calon di Selangor.

Tahun lalu, pelajar mendapat keputusan gred cemerlang iaitu A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran SPM di Selangor meningkat 0.50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2024 untuk Selangor adalah 4.59 mata, meningkat 0.08 mata berbanding 4.67 pada tahun sebelumnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.