SHAH ALAM, 2 APRIL: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menggunakan kad pengenalan milik empat individu bagi membeli lebih 100 liter petrol RON95 semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek ditahan ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Tumpat, Kelantan, lapor Berita Harian.
"Ketika ditahan, polis menemui empat kad pengenalan milik individu berasingan dalam milikannya.
"Kad pengenalan itu digunakan untuk membeli lebih 100 liter petrol," katanya kepada pemberita.
Yusoff berkata, kes dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan suspek turut disiasat mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959.
"Polis akan meneliti peruntukan undang-undang lain yang sesuai untuk diambil tindakan terhadap suspek," katanya.
Mengulas sama ada terdapat kes rakyat Malaysia membeli diesel di negara jiran dan masuk ke Kelantan melalui laluan tidak sah, Yusoff berkata setakat ini tiada kes sedemikian dikesan.
"Belum ada rakyat Malaysia ditahan ketika cuba membawa masuk diesel dari seberang sempadan," katanya.
Harga diesel di negara jiran kini sekitar 38 baht (RM4.82) seliter, menjadikannya lebih murah berbanding di Malaysia.








