Tidak puas hati kerja bersih stor senjata punca anggota tentera parah dipukul

2 Apr 2026, 11:37 AM
Tidak puas hati kerja bersih stor senjata punca anggota tentera parah dipukul

SHAH ALAM, 2 APRIL: Tidak puas hati terhadap kerja pembersihan stor senjata dipercayai punca seorang anggota tentera dari Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong, Pahang parah dipukul.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat memaklumkan siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk tujuh anggota kem berkenaan di bahagian muka dan perut

"Tindakan itu disebabkan tidak berpuas hati dengan kerja pembersihan stor senjata yang telah diarahkan kepada anggota-anggota tersebut.

"Akibat daripada insiden berkenaan, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi tidak sedarkan diri dan diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD sebelum dipindahkan ke Hospital Bentong.

"Beliau kini sedang menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh," katanya.

Menurutnya, dalam insiden yang sama, seramai enam orang anggota lain turut dilaporkan mengalami kecederaan akibat perlakuan suspek.

"Semua mereka diberikan rawatan perubatan yang sewajarnya dan keadaan kesihatan mereka kini dilaporkan stabil serta sedang dipantau oleh pihak pasukan.

"Susulan kejadian itu, anggota PTTR yang disyaki terbabit telah ditahan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan lanjut.

"TDM memandang serius insiden ini dan satu lembaga siasatan sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Katanya, tindakan tegas yang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit.

"TDM sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang-undang dan peraturan sedia ada.

"Pada masa yang sama, TDM memohon supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, serta demi menghormati privasi mangsa dan ahli keluarganya," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.