Selangor rangka pelan bantu peniaga kecil hadapi kenaikan diesel

2 Apr 2026, 5:56 AM
Selangor rangka pelan bantu peniaga kecil hadapi kenaikan diesel
Selangor rangka pelan bantu peniaga kecil hadapi kenaikan diesel
Selangor rangka pelan bantu peniaga kecil hadapi kenaikan diesel

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Selangor sedang merangka pelan tindakan bagi membantu peniaga kecil menghadapi peningkatan kos susulan kenaikan harga diesel akibat konflik Asia Barat.

EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata impak itu dijangka dirasai secara tidak langsung, khususnya melibatkan peningkatan kos penghantaran dan pengangkutan.

“Kerajaan negeri akan meneliti secara menyeluruh kesan kenaikan ini terhadap peniaga mengikut segmen perniagaan masing-masing. Usahawan yang berniaga melibatkan penghantaran memang akan terkesan banding peniaga dari rumah tidak akan terjejas.

“Kita akan melihat secara menyeluruh dan pelan tindakan Kerajaan Negeri akan diumum berhubung dengan krisis yang berlaku di Timur Tengah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Semula Pasar Raya Giant di Seksyen 13 di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Najwan memaklumkan setakat ini tiada aduan diterima daripada peniaga berkaitan kenaikan harga barangan.

EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berucap pada Majlis Pelancaran Semula Giant Hypermarket Seksyen 13, Shah Alam pada 2 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor melakukan pemantauan kenaikan harga untuk mengelakkan rakyat membuat pembelian panik.

“Krisis di Timur Tengah memberi impak kepada ekonomi negeri dan negara. Jadi, pentadbiran negeri kita membuat persediaan awal dan memantau dari semasa ke semasa termasuk melibatkan jabatan-jabatan daripada peringkat Persekutuan untuk melihat kemungkinan kenaikan harga barang,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber sahih serta tidak membuat pembelian panik memandangkan harga barangan masih terkawal.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memperkukuh kesiapsiagaan Selangor dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat.

Menurutnya, langkah itu merupakan permulaan kepada rangka tindakan menyeluruh di peringkat negeri bagi menyokong usaha kerajaan Persekutuan dalam menangani kesan krisis berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.