Lapan kes seleweng diesel, rampasan lebih RM400,00 di Pulau Pinang - KPDN

2 Apr 2026, 5:10 AM
Lapan kes seleweng diesel, rampasan lebih RM400,00 di Pulau Pinang - KPDN

BUTTERWORTH, 2 APRIL: Kementerian Pedagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merekodkan lapan kes penyelewengan diesel menerusi Ops Tiris 4.0 melibatkan nilai rampasan berjumlah RM415,877 sejak Januari tahun ini.

Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata kesemua kes berkenaan melibatkan serbuan ke atas stor haram yang dijadikan lokasi penyimpanan bahan api itu di sekitar kawasan Seberang Perai Selatan (SPS).

Beliau berkata lima lelaki warga tempatan yang juga pemandu lori berusia antara 30 hingga 40-an turut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan kesemua kes masih dalam peringkat siasatan dan pendakwaan.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 215 premis stesen minyak di negeri ini telah diperiksa sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan dan pemantauan berterusan,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra dan pemantauan pelaksanaan Larangan Penjualan dan Pembelian Petrol RON95 di Stesen Minyak Petronas Sungai Dua arah Selatan di sini hari ini.

Beliau sebanyak 126 stesen minyak telah dipantau secara rapi bagi memastikan pematuhan penuh terhadap penguatkuasaan larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 bagi kenderaan berpendaftaran asing yang bermula semalam.

Menurut Jegan, sebelum ini pihaknya turut menerima empat aduan awam berkaitan penyelewengan penjualan bahan api bersubsidi dengan dua daripadanya melibatkan pengisian petrol RON95 ke dalam tong manakala dua lagi berkaitan aktiviti mencurigakan di stesen minyak.

“Hasil siasatan mendapati tiga daripada aduan berkenaan adalah tidak berasas dan tiada sebarang kesalahan direkodkan sementara satu yang melibatkan diesel masih dalam pemantauan berkala oleh KPDN Pulau Pinang,” katanya.

Dalam menghadapi situasi semasa, beliau berkata KPDN turut meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan menempatkan 134 pegawai bertugas di lokasi strategik di samping mengadakan rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan khas secara berterusan, termasuk operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain bagi memperkukuh kawalan khususnya di kawasan sempadan.

Katanya, langkah berkenaan bagi memastikan bekalan bahan api bersubsidi dapat dikawal dengan baik serta dinikmati golongan yang benar-benar layak, khususnya dalam keadaan semasa yang memerlukan pemantauan rapi terhadap bekalan dan harga bahan api.

Beliau berkata pengusaha stesen minyak turut bertanggungjawab memastikan hanya kenderaan tempatan dibenarkan mengisi RON95 dan kecuaian atau perbuatan yang mendorong penyelewengan akan dikenakan tindakan tegas tanpa toleransi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.