Harga diesel naik 50 sen, RON97 turun 20 sen

1 Apr 2026, 11:18 AM
Harga diesel naik 50 sen, RON97 turun 20 sen

SHAH ALAM, 1 APRIL: Harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April.

Harga runcit petrol RON97 pula turun 20 sen kepada RM4.95 seliter, manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.87 seliter bagi tempoh sama.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.

Menurutnya, krisis tenaga global yang masih berlarutan telah mendorong lonjakan harga minyak mentah Brent global melebihi 40 peratus, sehingga melepasi paras AS$100 setong.

Lebih kritikal, ujarnya, harga minyak yang diproses (refined product) bagi petrol dan diesel juga melambung tinggi masing-masing pada harga AS$150 setong dan AS$250 setong, sekali gus memberi tekanan kepada harga jualan runcit bagi kedua-dua produk berkenaan.

“Kerajaan komited untuk memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak global.

“Sejak krisis Asia Barat meletus, Kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga runcit di pam malah masih menampung sebahagian kos subsidi petrol dan diesel bagi tempoh tiga minggu berturut-turut.

“Justeru, usaha mengekalkan harga petroleum bersubsidi kepada rakyat serta sektor tertentu akan terus diperkukuh bagi membendung kenaikan harga barangan dan melindungi kesejahteraan rakyat,” katanya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.