12 pelajar Orang Asli di Selangor catat keputusan cemerlang SPM 2025

1 Apr 2026, 8:16 AM
12 pelajar Orang Asli di Selangor catat keputusan cemerlang SPM 2025

SHAH ALAM, 1 APR: Seramai 12 pelajar Orang Asli di Selangor mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila memperoleh sekurang-kurangnya 5A, sekali gus membuktikan potensi besar golongan itu dalam bidang pendidikan.

Pencapaian itu lebih manis apabila seorang pelajar dari Kuala Langat berjaya memperoleh keputusan 9A manakala seorang lagi pelajar dari daerah sama mencatat 6A.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, Papparaidu Veraman berkata, kejayaan itu sangat membanggakan dan mencerminkan keupayaan pelajar Orang Asli untuk bersaing setanding pelajar lain.

“Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan, disiplin dan keazaman tinggi pelajar dalam menempuh cabaran pendidikan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Di daerah Sepang, seorang pelajar mencatat 7A manakala seorang lagi memperoleh 6A. Sementara itu, di Hulu Langat, seorang pelajar memperoleh 7A dan seorang lagi mencatat 5A.

Bagi daerah Gombak dan Petaling pula, seorang pelajar memperoleh 7A, dua pelajar mencatat 6A dan tiga lagi memperoleh 5A.

Papparaidu yang juga EXCO Hal Ehwal Orang Asli berkata kejayaan itu bukan sahaja hasil usaha pelajar, malah turut didorong ibu bapa, guru serta pelbagai pihak.

“Pendidikan merupakan kunci utama dalam mengubah kehidupan dan kejayaan ini diharap menjadi pemangkin semangat kepada lebih ramai anak Orang Asli untuk terus menimba ilmu,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya mengharumkan nama keluarga, komuniti dan negeri melalui pencapaian tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.