SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan digesa meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) bagi membolehkan rampasan dan pelucuthakan kenderaan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah (DUI), khususnya melibatkan kes kematian dan kecederaan parah.
Pendukung Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Lestari, Shahrim Tamrin berkata pindaan itu boleh dilaksanakan melalui pengenalan klausa baharu di bawah Seksyen 44 akta berkenaan.
Menurutnya, cadangan tersebut dirangka berdasarkan Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa menyita dan melucut hak kenderaan komersial bagi kesalahan tertentu.
“Jika Malaysia boleh lucut hak lori komersial secara kekal kerana membawa muatan berlebihan, adalah logik dan adil untuk kita mengenakan tindakan sama terhadap kenderaan yang digunakan oleh pemandu mabuk atau khayal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, di bawah cadangan itu, kenderaan terlibat dalam kes DUI serius seperti kes berulang, tahap alkohol dalam darah tinggi atau melibatkan dadah akan disita serta-merta sebelum dilucut hak melalui perintah mahkamah.

Katanya, kenderaan tersebut kemudiannya akan dilelong selepas tempoh minimum 90 hari, dengan hasil jualan disalurkan kepada Tabung Pampasan Mangsa DUI (DVCF) serta Tabung Amanah Keselamatan Jalan Raya.
“Denda RM1,000 atau RM2,000 sahaja tidak cukup untuk menghentikan pesalah tegar di Malaysia.
“Apabila kenderaan yang menjadi keperluan harian atau sumber rezeki dirampas dan dilelong, mesejnya jelas bahawa kesalahan itu membawa akibat serius,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu turut mengambil kira perlindungan pihak ketiga yang tidak bersalah seperti ahli keluarga, majikan dan institusi kewangan.
Selain itu, katanya, budi bicara mahkamah perlu diberi bagi kes tertentu termasuk melibatkan golongan berpendapatan rendah.
Menurut beliau, undang-undang lebih tegas diperlukan memandangkan penunggang motosikal menyumbang lebih 71 peratus kematian jalan raya di negara ini.
“Ini bukan sekadar hukuman, tetapi keadilan kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat nahas yang sebenarnya boleh dicegah,” katanya.








