PUTRAJAYA, 1 APRIL: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melaksanakan empat siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Perak, Kedah, Perlis dan Johor pada 6 hingga 9 April ini sebagai langkah proaktif meningkatkan aras takungan air empangan yang terjejas akibat cuaca panas berpanjangan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata operasi itu dilaksanakan susulan fenomena cuaca panas yang sedang melanda beberapa kawasan berikutan peralihan monsun bermula 29 Mac lepas dan dijangka berterusan hingga Mei.
"Walaupun tempoh ini membawa pembentukan ribut petir dan hujan lebat di kawasan barat Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, beberapa kawasan masih berisiko tinggi menghadapi gelombang haba Tahap 1 dan 2, dengan suhu mencecah antara 35 hingga 40 darjah Celsius.
"Keadaan ini masih tidak dapat membantu meningkatkan aras air empangan secara signifikan, sekali gus memberi kesan kepada sumber air dan sektor pertanian malah turut memberi impak kepada kehidupan harian rakyat, khususnya golongan rentan di kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata OPA akan dilaksanakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia yang menyediakan pesawat C130 Hercules, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyelaras aspek teknikal dan saintifik pelaksanaan operasi.
Beliau berkata OPA akan memberi fokus kepada 11 empangan iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis, Empangan Ahning, Pedu dan Muda di Kedah, Empangan Temenggor dan Bukit Merah di Perak serta Empangan Lebam, Upper Layang, Lower Layang, Gunung Pulai dan Machap di Johor.
"Langkah ini merupakan tindakan proaktif bagi meningkatkan semula aras takungan air yang terjejas akibat cuaca panas berpanjangan.
"Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) juga perlu mengenal pasti kaedah terbaik sebagai strategi jangka sederhana termasuk mengenal pasti kawasan takungan air semasa musim hujan untuk kegunaan ketika cuaca panas," katanya.
Ahmad Zahid berkata sebagai langkah kesiapsiagaan bencana, JPBN turut diarahkan memastikan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) diaktifkan dan diperkasakan bagi memastikan keputusan diambil adalah merujuk kepada maklumat teknikal dan berasaskan data.
Beliau berkata semua agensi berkaitan perlu menyalurkan maklumat secara berpusat kepada SDCC untuk disusun dan direkodkan termasuk maklumat pemantauan aras empangan, bekalan air mentah, tahap kelembapan tanah di kawasan kritikal, kawasan berisiko tanah runtuh, kawasan banjir dan lain-lain maklumat berkaitan.
Menurut beliau, satu penilaian menyeluruh perlu dibuat berdasarkan dapatan daripadan JPBN dan SDCC bagi penyediaan satu pelan mitigasi jangka panjang dalam mencari penyelesaian terbaik untuk mengurus bencana pada masa hadapan.
"JPBN perlu bertindak awal dengan mengenal pasti keperluan rakyat, pertanian dan komersial seperti penghantaran bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki ke kawasan mengalami gangguan bekalan air kritikal serta permohonan pelaksanaan OPA bagi meningkatkan aras air empangan dengan lebih cepat,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata semua agensi kerajaan perlu mempergiat tindakan bagi memastikan kumpulan sasar tidak terjejas, khususnya dalam sektor bekalan makanan, pertanian, kesihatan awam, pendidikan, keusahawanan serta penternakan.
Beliau juga menyeru rakyat supaya menggunakan air secara berhemat serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Dalam apa jua keadaan, prinsip kerajaan jelas bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat adalah keutamaan tertinggi dan kerajaan akan terus memastikan tiada rakyat terpinggir atau dibiarkan menghadapi situasi ini bersendirian," katanya.








