Tiga anggota TNI maut dalam misi UNIFIL di Lubnan

1 Apr 2026, 3:40 AM
Tiga anggota TNI maut dalam misi UNIFIL di Lubnan

JAKARTA, 1 APR: Seramai dua lagi anggota tentera Indonesia terkorban dalam insiden berasingan ketika berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), menjadikan angka kematian meningkat kepada tiga.

Ketua Pusat Penerangan Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Mejar Jeneral Aulia Dwi Nasrullah mengenal pasti dua anggota itu sebagai Kapten (Inf) Zulmi Aditya Iskandar dan Sarjan Muhammad Nur Ichwan.

Beliau berkata kedua-dua anggota berkenaan terbunuh ketika mengiringi sebuah kenderaan UNIFIL ke lokasi yang ditetapkan.

Dalam kejadian itu, kenderaan yang membawa anggota TNI berkenaan meletup semasa dalam perjalanan, menyebabkan kematian.

“Terdapat letupan dalam kenderaan yang menyebabkan kematian anggota,” lapor Agensi Berita ANTARA memetik kenyataan beliau.

Aulia berkata dua lagi anggota iaitu Leftenan (Inf) Sulthan Wirdean Maulana dan Koperal Deni Rianto cedera dalam insiden itu.

Beliau berkata punca letupan masih belum dikenal pasti dan UNIFIL sedang menjalankan siasatan.

“Bagi menentukan punca kejadian, UNIFIL kini menjalankan siasatan. TNI terus memantau perkembangan dan menyediakan langkah kontingensi susulan situasi di kawasan misi Lubnan,” katanya.

Pada Isnin, TNI memaklumkan seorang anggotanya terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam insiden berasingan pada hari yang sama (30 Mac) susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing di selatan Lubnan.

Anggota yang terkorban dikenal pasti sebagai Koperal Farizal Rhomadhon, manakala Koperal Rico Pramudia dilaporkan cedera parah.

Dua lagi anggota, Koperal Bayu Prakoso dan Koperal Arif Kurniawan mengalami kecederaan ringan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.