Jualan pakaian 'preloved' MBDK jana dana OKU, galak kitar semula

1 Apr 2026, 6:00 AM
Jualan pakaian 'preloved' MBDK jana dana OKU, galak kitar semula
Jualan pakaian 'preloved' MBDK jana dana OKU, galak kitar semula

KLANG, 1 APRIL: Inisiatif jualan pakaian terpakai (preloved) oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bukan sahaja menggalakkan budaya kitar semula, malah membantu menjana dana bagi menyokong persatuan orang kurang upaya (OKU) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata program berkonsepkan Pasar Lewa itu diperkenalkan bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap pakaian terpakai agar dilihat lebih bernilai dan sesuai digunakan semula.

"Sempena Hari Kitar Semula, MBDK cetuskan idea buat Pasar Lewa yang bertujuan mendidik orang ramai supaya tidak membuang pakaian merata-rata seperti di tepi jalan atau dalam kotak sehingga menjadi aduan penduduk dan beri pendekatan baru.

"Pendekatan membungkus dan menyusun pakaian dengan lebih kemas mampu meningkatkan penghargaan orang ramai terhadap barangan kitar semula," katanya kepada Media Selangor.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz bercakap kepada media mengenai pakaian terpakai di Majlis Jualan Kitar Semula sempena sambutan Hari Wanita MBDK di Dewan Hamzah, Klang pada 31 Mac 20206. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Program sempena sambutan Hari Wanita itu turut mencatat kelainan apabila Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain bersama isterinya menyumbang pakaian peribadi.

Selain itu, kira-kira 300 helai pakaian termasuk batik dan pakaian butik turut disumbangkan oleh orang ramai.

Menurutnya, hasil jualan akan disalurkan kepada persatuan OKU dan NGO sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dalam pada itu, beliau berkata MBDK bercadang memperluas penglibatan komuniti pelbagai kaum serta menjalin kerjasama dengan lebih banyak persatuan dan perbadanan bagi memperkasa inisiatif berkenaan.

Norfiza turut menegaskan elemen kitar semula akan terus diterapkan dalam setiap program MBDK bagi membentuk komuniti Klang yang lebih lestari dan berdaya saing.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.