SHAH ALAM, 27 MAC: Penghantar p-hailing maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang kereta yang berhenti di lorong kiri di kilometer tiga Lebuhraya Pantai Baru (NPE) di Petaling Jaya, semalam.
Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, lelaki berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan dialami.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan pada jam 1.50 tengah hari.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal melalui laluan berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti di lorong kiri jalan akibat mengalami kerosakan.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.








