KLANG, 31 MAC: Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024-2030 bakal memperkukuh daya tahan ekonomi keluarga, khususnya dengan memperkasa peranan wanita dalam sektor penjagaan.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata dasar itu mengiktiraf peranan penjaga, terutama wanita sebagai komponen penting pembangunan ekonomi negeri.
Katanya, inisiatif berkenaan turut membuka ruang dan sokongan kepada wanita untuk kekal atau kembali aktif dalam sektor pekerjaan formal, sekali gus meningkatkan kesejahteraan keluarga.
“Wanita yang bekerja memerlukan sistem penjagaan yang selamat dan berkualiti untuk anak-anak. Justeru sektor penjagaan yang majoritinya melibatkan wanita perlu dimartabatkan.
"Bagi memastikan wanita kekal dalam sektor formal, kita juga perlu mengiktiraf sumbangan wanita dalam sektor tidak formal iaitu penjagaan," katanya pada Program Jualan Kitar Semula sempena Bulan Hari Wanita MBDK di Dewan Hamzah, di sini, hari ini.
Beliau turut menggesa wanita memainkan peranan sebagai perancang kewangan keluarga, khususnya berdepan kemungkinan kenaikan harga susulan faktor ekonomi global.
Menurutnya, pengalaman pandemik Covid-19 membuktikan krisis global memberi kesan langsung kepada institusi keluarga, justeru kesiapsiagaan ekonomi dan mental amat penting.
“Urusan rumah tangga bukan sekadar di dapur, tetapi merangkumi perancangan kewangan dan keupayaan menjadi benteng kepada tekanan ekonomi keluarga.
“Krisis global akhirnya sampai ke meja makan kita, maka wanita perlu memastikan keluarga bersedia menghadapi sebarang cabaran,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata Selangor menjadi negeri pertama melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan sebagai persediaan menghadapi penuaan penduduk.
Beliau berkata dasar itu memberi tumpuan kepada lima teras utama, iaitu advokasi dan promosi, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan tenaga kerja penjagaan, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.
Dasar hingga 2030 itu merangkumi penjagaan warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya serta pengukuhan sokongan kepada penjaga formal dan tidak formal.








