Bekalan asas Selangor masih stabil, kerajaan pantau kesan konflik Asia Barat

31 Mac 2026, 10:35 AM
Bekalan asas Selangor masih stabil, kerajaan pantau kesan konflik Asia Barat

SHAH ALAM, 31 MAC: Pendekatan awal kerajaan dalam menangani cabaran semasa mula menunjukkan hasil apabila bekalan keperluan asas kekal stabil setakat ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bekalan makanan, bahan api dan barangan harian di Selangor masih mencukupi, meskipun berdepan sedikit kekangan diesel susulan konflik di Asia Barat.

"Setakat ini keadaan masih lagi terkawal, dan kita lihat langkah-langkah awal kerajaan nampak berkesan dengan bekalan yang mencukupi walaupun ada sedikit pengurangan dari segi diesel.

"Namun kita tidak boleh leka. Jika situasi ini berlarutan, kita perlu bersiap sedia dengan lebih rapi," katanya kepada selepas Majlis Townhall X Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedang memantau rapat perkembangan semasa bagi memastikan sebarang kesan terhadap kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan berkesan.

“Isu ini bukan terhad kepada Timur Tengah, tetapi turut memberi kesan langsung kepada bekalan tenaga negara dan seterusnya mempengaruhi harga barangan harian.

“Sebab itu kerajaan perlu menilai dengan teliti agar tidak menghantar isyarat yang salah, selain mengajak rakyat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan satu sesi taklimat khas melibatkan pimpinan tertinggi bersama perdana menteri akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat terkini serta menyelaras langkah seterusnya.

"Esok pagi kita akan mengadakan sesi susulan manakala pada Khamis saya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri pertemuan termasuk taklimat terkini berkenaan situasi semasa," ujar beliau.

Amirudin turut menyeru semua pihak agar tidak mengambil kesempatan terhadap situasi semasa, sebaliknya berganding bahu memastikan kestabilan negara terus terpelihara.

"Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan untuk keuntungan sementara atau politik. Apa yang penting sekarang adalah kesatuan dalam menghadapi cabaran ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata cabaran lebih besar dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, khususnya melibatkan bekalan dan kenaikan harga barangan.

"Harga mungkin akan meningkat, terutama apabila kos diesel memberi kesan kepada pengangkutan dan rantaian bekalan. Namun kita sedang membuat persediaan awal untuk menghadapi situasi ini.

"Insya-Allah dengan persiapan rapi dan kerjasama semua pihak, kita yakin keadaan dapat terus dikawal," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.