SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan disaran memperketat pemantauan harga rumah bagi mengelakkan lonjakan mendadak susulan peningkatan kos pembinaan dan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak berkata campur tangan kerajaan amat penting bagi memastikan pasaran hartanah kekal stabil serta tidak membebankan pembeli.
Menurut Azizul Azli Ahmad, kenaikan kos bahan mentah, pengangkutan dan buruh berpotensi memberi kesan berantai kepada harga rumah sekiranya tidak dibendung.
“Kalau tanya, perlu ataupun tidak kerajaan campur tangan, sebenarnya sangat perlu untuk membantu pemaju dan pembeli.
“Jika dilihat kos bahan mentah, pengangkutan dan buruh semua dijangka meningkat, jadi secara tak langsung ia boleh mempengaruhi harga hartanah,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Beliau bagaimanapun menjelaskan kerajaan sebelum ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong sektor perumahan termasuk memperkenalkan skim seperti PR1MA dan Residensi Wilayah (Rumawip) bagi membantu rakyat memiliki kediaman.
Tambahnya, pemberian insentif seperti pelepasan cukai atau sokongan kepada pemaju boleh membantu mengurangkan tekanan kos sekali gus mengawal harga, khususnya bagi projek rumah mampu milik.
“Mungkin perlu ada beberapa insentif kepada pemaju supaya mereka lebih berinisiatif untuk membangunkan rumah mampu milik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pasaran hartanah ketika ini dilihat bergerak perlahan berikutan sikap ‘tunggu dan lihat’ dalam kalangan pembeli dan pelabur.
Sehubungan itu, pemantauan berterusan oleh kerajaan amat penting bagi memastikan pasaran kekal seimbang dan tidak mengalami kenaikan harga secara mendadak.
Terdahulu, konflik di Asia Barat mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global, sekali gus memberi tekanan kepada kos pembinaan dan ekonomi dunia secara keseluruhan.











