KUALA LUMPUR, 30 MAC: Malaysia kekal berada dalam kedudukan yang baik untuk berdepan tekanan fiskal yang semakin meningkat apabila harga minyak mentah Brent kekal melebihi US$100 setong, menurut penganalisis.
Katanya, hasil berkaitan petroleum yang lebih kukuh juga dijangka dapat menampan kesan penyelarasan sementara subsidi RON95.
Penganalisis Kanan Risiko Negara BMI Caroline Wong berkata harga minyak yang lebih tinggi akan meningkatkan beban subsidi dengan ketara, namun harga minyak mentah yang kekal tinggi juga akan meningkatkan hasil kerajaan.
Beliau memberitahu, ini sekali gus membolehkan kerajaan terus berada pada landasan yang betul bagi rancangan konsolidasi fiskalnya.
Katanya, kerajaan dijangka meneruskan pembaharuan terutamanya menjelang pilihan raya negeri dan persekutuan yang akan datang selepas pilihan raya negeri Sabah pada November 2025.
"Sememangnya Malaysia tidak terkecuali daripada sentimen risiko global meskipun ia merupakan pengeksport tenaga bersih. Bagaimanapun, kami percaya bahawa ketidaktentuan geopolitik dan hubung kait positif ringgit dengan harga minyak bukanlah satu-satunya faktor yang mempengaruhi prestasi mata wang tersebut.
"Dalam jangka masa pendek, kami percaya trajektori ringgit akan bergantung pada keupayaan pembuat dasar bagi mengekalkan inflasi dalam kawalan sambil memastikan kemampanan bil subsidi RON95. Hal ini kerana pelindung yang disediakan oleh subsidi bahan api penting dalam menstabilkan jangkaan inflasi," kata Wong kepada Bernama.
Konflik yang berlarutan di Asia Barat memberi tekanan kepada pasaran tenaga global dengan harga minyak mentah kini melebihi US$100 (RM400) setong sekali gus meningkatkan beban subsidi negara dengan ketara.
Sewaktu berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 2.16 peratus kepada US$115 setong berikutan kemasukan militan Houthi yang disokong Iran dalam konflik di Asia Barat.
Baru-baru ini, Kementerian Kewangan berkata kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel yang dianggarkan mencecah sehingga RM4 bilion sebulan di bawah pelaksanaan program Budi MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel, berikutan kenaikan harga minyak mentah global.
Bagi mengurangkan kesan berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan iaitu Malaysia akan menyelaraskan sementara peruntukan bulanan BUDI95 untuk individu kepada 200 liter berkuat kuasa 1 April bagi mengatasi kenaikan harga minyak yang didorong oleh konflik di Asia Barat.
Harga petrol bersubsidi ini akan kekal tidak berubah pada RM1.99 seliter.
Wong mengingatkan bahawa walaupun peningkatan dalam hasil berkaitan petroleum dapat memberikan kesan yang baik, ringgit tetap terdedah kerana peserta pasaran mengurangkan jangkaan penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS).
"Pada masa ini, pasukan kami di AS terus menjangkakan Fed akan menurunkan Kadar Dana Rizab Persekutuan sebanyak 50 mata asas kepada kadar terminal 3.25 peratus.
"Bagaimanapun, konflik AS-Iran yang berterusan menunjukkan masa pelaksanaan penurunan tersebut mungkin ditangguhkan sehingga separuh kedua 2026," tambahnya.
Kadar dasar semalaman
BMI berpendapat Bank Negara Malaysia (BNM) tidak berada di bawah tekanan besar untuk mengubah tetapan kadar dasar semalamannya yang ketika ini berada pada 2.75 peratus walaupun ia mungkin bertindak lebih awal jika berlaku kemerosotan mendadak dalam pertumbuhan global dan domestik.
Wong berkata dalam senario penurunan apabila harga minyak kekal pada paras US$150 setong yang mendorong inflasi keseluruhan meningkat melebihi sasaran had atas kerajaan iaitu 1.3-2.0 peratus tahun ini, BNM mungkin akan bertindak lebih awal.
"Namun, setakat ini, kami percaya kemungkinan senario seperti itu untuk berlaku adalah rendah. Pertama, subsidi bahan api kerajaan akan bertindak sebagai penyerap kejutan utama. Pembuat dasar telah memilih untuk mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter dan sebaliknya menanggung beban peningkatan empat kali ganda dalam bil subsidi bulanan," katanya.
Wong berkata unjuran BMI menunjukkan walaupun mengambil kira kesan pusingan kedua, inflasi utama Malaysia akan meningkat sebanyak 0.13 mata peratusan bagi setiap kenaikan 10 peratus dalam harga minyak yang jauh lebih rendah berbanding negara-negara serantau seperti Thailand dan Filipina.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi MARC Ratings Bhd Dr Ray Choy berkata penarafan kredit berdaulat Malaysia kekal berdaya tahan terhadap perubahan fiskal marginal.
Beliau menambah sedikit peningkatan dalam nisbah defisit fiskal terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 4.0 peratus, contohnya disebabkan oleh subsidi yang lebih tinggi, tidak mungkin menjejaskan penarafan atau prospek negara kerana ia masih berada dalam norma sejarah semasa tempoh cabaran ekonomi.
Beliau menambah defisit fiskal Malaysia sepatutnya kekal terkawal, disokong oleh ruang untuk mengecilkan perbelanjaan operasi dan menyesuaikan sumbangan dari entiti yang berkaitan dengan kerajaan termasuk Petronas.
"Perolehan cukai yang lebih tinggi daripada keuntungan yang meningkat dalam sektor hidrokarbon dijangka menyediakan penampan kepada kedudukan fiskal.
"Tambahan, situasi geopolitik semasa dijangka bersifat sementara dan penarafan kredit menggunakan pendekatan 'sepanjang kitaran ekonomi' yang bermaksud sebarang kemerosotan akibat perang di Asia Barat berkemungkinan diikuti dengan pemulihan seterusnya," katanya.
MARC Ratings berkata terdapat risiko penurunan sebanyak 0.2 hingga 0.4 peratus terhadap unjuran pertumbuhan asasnya iaitu sebanyak 4.6 peratus disebabkan oleh perang, sementara logistik dan rantaian bekalan global mungkin dilanjutkan disebabkan oleh perubahan laluan.
Choy berkata Malaysia mempunyai beberapa pelabuhan untuk menampung permintaan rantaian bekalan yang meningkat dan pelabuhan-pelabuhan di negara jiran juga masih mempunyai sedikit kapasiti lebihan untuk mengendalikan keperluan kontena yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, kapasiti pelabuhan yang lebih terhad dan gangguan dalam rantaian bekalan dijangka menyebabkan peningkatan kos, tambahnya.
Choy berkata kadar pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka kekal hampir dengan purata jangka panjangnya meskipun berlaku perang, sehubungan itu tiada keperluan besar untuk menurunkan kadar faedah.
"Namun, jika perang berkenaan semakin teruk dari segi tempoh dan skopnya sehingga menyebabkan pertumbuhan KDNK susut lebih dekat ke paras 4.0 peratus atau lebih rendah, penurunan kadar faedah mungkin diperlukan," tambahnya.









