Cuaca panas: Elak aktiviti luar, kekal hidrasi elak strok haba

30 Mac 2026, 3:50 AM
Cuaca panas: Elak aktiviti luar, kekal hidrasi elak strok haba

SHAH ALAM, 30 MAC: Orang ramai digesa mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas bagi mengelakkan risiko kesihatan, selain memastikan pengambilan air mencukupi sepanjang hari.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata orang ramai perlu mengelak berada di luar antara jam 11 pagi hingga 4 petang, selain menggunakan pelindung seperti payung dan pelitup muka sekiranya terpaksa berada di bawah terik matahari.

“Kurangkan aktiviti luar dan sentiasa lindungi diri. Jangan lupa minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari walaupun tidak dahaga.

“Hidrasi amat penting terutama bagi kanak-kanak, warga emas, pesakit dan mereka yang bekerja di bawah panas,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut menyarankan majikan dan pihak sekolah menyediakan bekalan air mencukupi bagi memastikan pekerja dan pelajar kekal terhidrasi.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha kesedaran awam, pemantauan kesihatan serta kerjasama antara agensi bagi menangani kesan cuaca panas.

“Usaha jangka panjang termasuk pendidikan kesedaran, kesiapsiagaan komuniti dan penghijauan bandar akan diperluas bagi mengurangkan impak perubahan iklim,” katanya.

Jamaliah turut mengingatkan orang ramai supaya peka terhadap tanda awal strok haba seperti pening, loya, kejang otot, sesak nafas, badan lemah serta kulit panas atau berpeluh berlebihan.

“Dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital jika mengalami gejala serius seperti pengsan, dehidrasi teruk atau suhu badan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan cuaca panas dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya pada Jun berikutan keadaan atmosfera kering dan taburan hujan yang rendah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.