ANKARA, 29 MAC: Pentagon sedang bersiap sedia untuk kemungkinan operasi darat di Iran yang dijangka mengambil masa berminggu-minggu di Iran apabila ribuan tentera AS dikerahkan ke Asia Barat, menunggu keputusan Presiden Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi, memetik Washington Post pada Sabtu.
Pegawai berkata rancangan itu boleh menandakan "fasa baharu perang" yang mungkin "jauh lebih berbahaya" bagi tentera AS berbanding empat minggu pertama pertempuran, menurut Washington Post.
Sebarang misi darat dijangka tidak membabitkan pencerobohan berskala penuh dan boleh membabitkan serangan oleh pasukan Operasi Khas serta infantri konvensional, menurut pegawai yang tidak dinamakan.
Mereka berkata operasi itu boleh mendedahkan anggota tentera kepada "dron dan peluru berpandu, tembakan darat dan letupan".
"Adalah menjadi tugas Pentagon untuk membuat persiapan bagi memberikan Pilihan Maksimum kepada Panglima Tertinggi," kata akgbar itu memetik jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt. "Ia tidak bermakna presiden sudah membuat keputusan."
Perbincangan termasuk kemungkinan operasi yang menyasarkan Pulau Kharg, pusat eksport minyak utama Iran dan serangan pesisir berhampiran Selat Hormuz untuk meneutralkan ancaman terhadap perkapalan.
Pegawai berkata misi yang berkemungkinan boleh berlangsung "minggu-minggu, bukan bulan", manakala sesetengah pihak menganggarkan "beberapa bulan".
Trump sebelum ini berkata, "Saya tidak akan menempatkan tentera di mana-mana," manakala Setiausaha Negara, Marco Rubio menyatakan bahawa ia "tidak akan menjadi konflik yang berpanjangan" dan boleh mencapai objektif "tanpa tentera darat".
Seramai 13 tentera AS terbunuh dan lebih 300 cedera dalam serangan di seluruh rantau sejak perang bermula pada akhir Februari, menurut pegawai.
Pendapat awam masih berpecah, dengan tinjauan menunjukkan 62 peratus menentang penempatan tentera darat ke Iran, manakala 12 peratus menyokong langkah itu.
Penganalisis tentera Michael Eisenstadt memberi amaran mengenai risiko, berkata: "Saya tidak ingin berada di tempat kecil itu dengan keupayaan Iran untuk menurunkan dron."
Pencerobohan serantau terus berlaku sejak Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari yang mengorbankan lebih 1,300 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.
Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, menyebabkan korban dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan penerbangan.
- BERNAMA-ANADOLU







