Kos bahan mentah melonjak, pengusaha restoran India cuba kekalkan harga

28 Mac 2026, 3:11 AM
Kos bahan mentah melonjak, pengusaha restoran India cuba kekalkan harga

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Industri restoran India di negara ini masih bertahan di sebalik tekanan operasi susulan gangguan logistik dan peningkatan kos bahan mentah yang menjejaskan operasi harian.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Datuk J. Govindasamy berkata situasi masih terkawal namun kesan daripada isu rantaian bekalan semakin dirasai pengusaha.

Beliau memaklumkan stok bahan mentah di Malaysia ketika ini dianggarkan hanya mencukupi untuk tempoh kira-kira sebulan, selain berdepan masalah logistik yang semakin ketara.

Menurutnya, sebahagian besar bekalan diperoleh melalui import dari India serta beberapa negara lain termasuk Sri Lanka, Indonesia, Thailand dan China, melibatkan bahan utama seperti ayam, rempah ratus, sayur, kentang dan kelapa.

Katanya, sekiranya kos bahan mentah terus meningkat, pengusaha tidak mempunyai pilihan selain menyemak semula harga makanan dengan kenaikan dijangka antara 20 hingga 30 peratus.

“Namun, kami tidak akan mengurangkan saiz hidangan kerana keutamaan adalah mengekalkan kualiti dan kepercayaan pelanggan,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya bimbang keadaan semasa boleh menyebabkan lebih banyak premis gulung tikar sekiranya tiada langkah penyelesaian diambil.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat mengekalkan kestabilan harga bahan api dan gas bagi memastikan kelangsungan industri, selain menghargai usaha kerajaan serta Perdana Menteri dalam menangani cabaran ekonomi tanpa membebankan rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata jumlah pelanggan masih stabil ketika sambutan Aidilfitri, namun permintaan dijangka menurun selepas perayaan tersebut berakhir.

Tambahnya, peningkatan kos bahan api dan gas turut membebankan pengusaha, sekali gus mendorong sebahagian pihak mempertimbangkan penggunaan alternatif seperti elektrik atau kaedah tradisional menggunakan kayu api.

“Bagaimanapun, kaedah ini memerlukan tenaga kerja tambahan. Justeru, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan penambahan kuota pekerja bagi menyokong industri,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 15 peratus restoran India di negara ini dilaporkan telah menutup operasi atau menghentikan sementara perniagaan akibat kekurangan tenaga kerja.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.