SHAH ALAM, 28 MAC: Orang ramai dilihat semakin berhati-hati dalam berbelanja dan mula merancang kewangan susulan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi ketika ini.
Tinjauan Media Selangor di pusat membeli-belah di Subang Jaya mendapati pengunjung mengambil pelbagai langkah penjimatan termasuk mengawal perbelanjaan harian dan membuat perbandingan harga sebelum membeli.

Bagi pekerja swasta, Dinie Aida Jainaldin, 39, beliau mula merasai kesan tekanan ekonomi dalam kehidupan harian, sekali gus mendorongnya merancang kewangan dengan lebih teliti.
“Bila sudah terasa kesan keadaan ekonomi, saya mula susun perbelanjaan. Saya juga kurangkan makan di luar, bawa bekal dan bandingkan harga di beberapa kedai sebelum membeli,” katanya.

Shwetha Nambiar, 31, pula berkata beliau mengurangkan penggunaan kenderaan bagi menjimatkan kos petrol dengan beralih kepada pengangkutan awam.
“Perbelanjaan kenderaan termasuk penggunaan Grab saya kurangkan walaupun untuk jarak dekat. Sekarang saya lebih banyak guna LRT. Dengan kos isi rumah mencecah RM5,000 sebulan, memang perlu berjimat,” katanya.

Bagi suri rumah, Sheela Nambiar, 62, kenaikan harga barangan keperluan harian memberi kesan ketara kepada perbelanjaan isi rumahnya.
“Dulu RM400 boleh beli banyak barang, sekarang untuk lima orang ahli keluarga mencecah RM1,000. Walaupun berat, ia tetap perlu dibeli.
“Saya juga terpaksa tangguhkan percutian dan fokus kepada simpanan kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri Muhammad Erry, 43, dan Nuradilah Yahya, 49, memaklumkan peningkatan harga bahan mentah turut menjejaskan perniagaan katering yang diusahakan.
“Harga bahan mentah semakin naik, jadi kami perlu bandingkan harga dan lebih bijak urus perbelanjaan. Kos perjalanan dan percutian juga terpaksa dikurangkan,” katanya.
Menurut mereka, langkah berjimat turut merangkumi usaha melunaskan hutang serta menyimpan dalam bentuk emas sebagai persediaan masa depan.
“Kami juga didik anak-anak supaya memahami realiti ekonomi semasa dan kepentingan mengurus kewangan dengan baik,” katanya.









