SHAH ALAM, 27 MAC: Selangor memberi tumpuan kepada pasaran Asia termasuk China, Jepun, Taiwan dan negara ASEAN lain bagi mengekalkan momentum sektor pelancongan negeri.
Langkah strategik itu diambil susulan konflik di Asia Barat yang dijangka memberi kesan kepada kehadiran pelancong antarabangsa, khususnya dari rantau berkenaan dan Eropah.
EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata ketegangan di Timur Tengah melibatkan Iran, Amerika dan Israel serta situasi di Selat Hormuz antara faktor utama yang mempengaruhi pergerakan pelancong global.
Menurutnya, konflik yang berlaku sudah pasti memberi kesan kepada sasaran kehadiran pelancong, khususnya dari Asia Barat dan Eropah.

“Konflik yang berlaku sudah pasti memberi kesan kepada sasaran kehadiran pelancong, khususnya dari Timur Tengah dan Eropah,” katanya kepada Media Selangor.
Namun begitu, beliau menjelaskan Kerajaan Negeri akan memperhalusi semua aspek termasuk implikasi terhadap sektor pelancongan.
Katanya, strategi promosi akan disesuaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan industri pelancongan negeri terus berkembang.
Dalam masa sama, Selangor akan memperkukuh kempen pelancongan menerusi inisiatif Tahun Melawat Selangor 2026 serta Tahun Melawat Malaysia.
“Kita akan mempergiat promosi ke pasaran Asia serta menggalakkan pelancongan domestik dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mengimbangi sebarang penurunan ketibaan pelancong luar,” ujar beliau.
Tambahnya, Kerajaan Negeri komited memastikan sasaran pelancongan tidak terjejas dengan memantau perkembangan semasa serta melaksanakan langkah penyesuaian sewajarnya.
“Kita akan terus memantau situasi semasa dan menyesuaikan sasaran pelancongan dari semasa ke semasa bagi memastikan sektor ini kekal berdaya tahan. Tak perlu pergi jauh, Selangor pun ada,” katanya.












