SHAH ALAM, 27 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memanggil semua Menteri Besar, Ketua Menteri serta pemimpin utama parti politik minggu depan bagi menghadiri taklimat mengenai kedudukan semasa ekonomi negara susulan konflik di Asia Barat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata taklimat itu akan disampaikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan semua pihak mendapat gambaran menyeluruh serta dapat menyelaras tindakan.
“Minggu depan, insya-Allah saya akan panggil pertamanya semua Menteri Besar, Premier dan Ketua Menteri untuk memaklumkan supaya penyertaan semua negeri, tidak kira parti sama ada bersama kerajaan atau pembangkang.
“Dan saya sudah rancang untuk memanggil juga pemimpin-pemimpin semua parti, kalau boleh berunding dan mendengar sendiri taklimat daripada MKN dan MTES serta langkah-langkah yang harus diambil bersama supaya kita dapat tangani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini hari ini.
Mengulas perkembangan konflik di Asia Barat, Anwar menegaskan Malaysia menyokong segala usaha ke arah mencapai kedamaian, namun pendekatan tersebut perlu bersifat adil kepada semua pihak yang terlibat.
“Semalam, saya telah berbincang panjang dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi memberi sokongan supaya langkah-langkah ke arah kedamaian dicapai.
“Tetapi kita juga faham prinsipnya, jangan lupa bahawa permulaan keganasan itu ialah daripada Israel dan Amerika yang menyerang Iran. Jadi pihak kedamaian itu mestilah adil bagi semua,” tegasnya lagi.








