Iran beri laluan, kapal minyak Malaysia dalam proses keluar dari Selat Hormuz

26 Mac 2026, 12:25 PM
Iran beri laluan, kapal minyak Malaysia dalam proses keluar dari Selat Hormuz

SHAH ALAM, 26 MAC: Malaysia sedang dalam proses membawa keluar kapal minyak serta pekerja tempatan dari Selat Hormuz selepas Iran memberikan laluan susulan ketegangan di laluan perdagangan strategik itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau merakamkan penghargaan kepada Iran atas kerjasama tersebut, sekali gus memudahkan usaha mengurus situasi melibatkan aset negara di kawasan berkenaan.

“Saya ambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Iran kerana awal memberi laluan, dan sekarang kita dalam proses untuk melepaskan kapal minyak Malaysia serta pekerja yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, hari ini.

Menurut beliau, konflik serta sekatan di Selat Hormuz telah memberi kesan kepada bekalan minyak dan gas global yang turut dirasai oleh Malaysia.

“Buat masa ini, kita terpaksa menangani kesan daripada sekatan di Selat Hormuz, peperangan serta gangguan bekalan minyak dan gas yang terhenti, semuanya memberi kesan kepada kita.

“Namun, kita berada dalam keadaan yang jauh lebih baik kerana keupayaan Petronas selama ini,” katanya.

Anwar berkata, keupayaan syarikat petroleum nasional itu membantu negara kekal lebih stabil berbanding negara lain walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.