Lima kawasan alami gelombang haba, 16 pada tahap berjaga-jaga

26 Mac 2026, 9:46 AM
Lima kawasan alami gelombang haba, 16 pada tahap berjaga-jaga

SHAH ALAM, 26 MAC: Sebanyak lima kawasan di Semenanjung Malaysia kini merekodkan cuaca panas Tahap 2 (gelombang haba) setakat jam 4 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan terlibat ialah Perlis serta empat daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Sik.

Selain itu, sebanyak 16 kawasan lain berada pada tahap Berjaga-Jaga (Tahap 1), melibatkan beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Johor.

Di Kedah, kawasan terlibat ialah Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.

Bagi Pulau Pinang pula melibatkan daerah Timur Laut dan Utara, manakala di Perak meliputi Hulu Perak, Selama, Kinta, Kuala Kangsar dan Perak Tengah.

Sementara itu, Jerantut di Pahang serta Segamat di Johor turut berada pada tahap berjaga-jaga.

"Tahap Gelombang Haba merujuk kepada suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

"Manakala tahap Berjaga-Jaga pula melibatkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas harian melalui laman web rasmi MetMalaysia atau aplikasi myCuaca.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.