Cuaca panas jejas bekalan air sawah, risiko hasil padi turun

26 Mac 2026, 8:12 AM
Cuaca panas jejas bekalan air sawah, risiko hasil padi turun
Cuaca panas jejas bekalan air sawah, risiko hasil padi turun
Cuaca panas jejas bekalan air sawah, risiko hasil padi turun
Cuaca panas jejas bekalan air sawah, risiko hasil padi turun

SHAH ALAM, 26 MAC: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini menyebabkan paras air di terusan utama sistem pengairan sawah padi IADA Barat Laut Selangor menunjukkan trend penurunan sejak Februari lalu.

Pengarah IADA Barat Laut Selangor Mario Valeriano berkata keadaan itu berpunca daripada pengurangan hujan di sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Beliau berkata musim panas berterusan memberi kesan kepada kestabilan bekalan air dari sumber hingga ke peringkat petak sawah.

“Musim panas berterusan memberi kesan kepada kestabilan membekal air dari sumber hingga ke peringkat lapangan petak sawah sehingga berlaku gangguan sistem pengairan di mana saluran tali air utama, tali air sekunder dan tali air tersier tidak dapat menerima aliran air yang mencukupi,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, antara langkah jangka pendek termasuk pemantauan kawasan panas serta pelaporan segera kawasan kering atau kritikal bagi membolehkan operasi pam bergerak dilaksanakan.

“Antara penyelesaian jangka pendek adalah memantau kawasan panas serta melaporkan kawasan yang kering atau kritikal memerlukan operasi pam bergerak supaya dapat dipanjangkan kepada Jabatan Pengairan Saliran Daerah dengan segera untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambah beliau, pegawai kawasan turut memainkan peranan memantau penggunaan air bagi mengelakkan pembaziran, termasuk melibatkan ketua blok dalam pengurusan air sawah.

Dalam masa sama, pelaksanaan Pengurusan Sumber Air Pertanian 2025 turut dijalankan bagi menilai semula keberkesanan sistem pengairan serta kerja pembaikan infrastruktur termasuk penggantian palong rosak.

Mengulas kesan terhadap tanaman, Mario berkata cuaca panas berpanjangan boleh menjejaskan pertumbuhan padi terutama pada empat peringkat kritikal iaitu beranak, pembentukan tangkai, berbunga dan pengisian biji.

“Implikasi jika gangguan pendebungaan ini ialah pengurangan hasil padi sehingga 30 peratus selain menjejaskan kualiti beras yang dihasilkan,” ujarnya.

Terdahulu, beliau memaklumkan penamanan padi di kawasan Sawah Sempadan sedang dalam fasa pengisian biji padi dan sebahagian kawasan lagi menghampiri peringkat penuaian (matang) manakala di Sekinchan dan Sungai Leman pula fasa berbunga dan pengisian biji padi.

Bagi kawasan Pasir Panjang, Sungai Nipah dan Sungai Haji Dorani pula dalam fasa beranak dan pembentukan tangkai selain itu di Panchang Bedena, Bagan Terap dan Sungai Panjang pula dalam proses penyediaan tanah dan akan mula tanam menjelang 1 April nanti.

Sementara itu, EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata pihaknya akan memantau keadaan semasa dan menyalurkan maklumat kepada EXCO Pertanian Dato’ Izham Hashim sekiranya situasi menjadi kritikal.

“Sekarang musim perayaan dan cuaca yang agak panas sedikit sememangnya menjejaskan pertanian. Parit kering dan aliran air terganggu.

“Namun, kita akan pantau dari semasa ke semasa dan maklumkan kepada exco berkaitan sekiranya perlu,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.